Tiada alat khusus uji bahan letupan – Pakar

SHAH ALAM 5 Nov. – Pakar senjata api, Shaari Desa memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini yang beliau tidak melakukan ujian lanjut terhadap peledak elektrik bagi mengetahui jenis bahan letupan di dalamnya kerana tiada peralatan dan kemudahan khusus selain membahayakan.

Menurut saksi pendakwa ke-40 yang juga Ketua Unit Senjata Api dan Kesan Alat di Seksyen Kriminalistik Bahagian Forensik Jabatan Kimia Malaysia, peledak tersebut perlu dimusnahkan dahulu dengan cara meletupkannya di dalam satu ruang khas untuk ujian bahan letupan.

Sementara bahan letupan yang terdapat di dalamnya, ujar beliau, perlu dikeluarkan menggunakan bahan daripada jenis kayu seperti pencungkil gigi atau bilah sate dengan tangan.

‘‘Ruang khas (untuk melakukan letupan) tidak terdapat di Jabatan Kimia Malaysia dan tiada alat khusus untuk pengendalian bahan letupan tersebut.

‘‘Bagi tujuan sampel, yang ini membahayakan pengendali bahan letupan tersebut. Ia merupakan dua faktor mengapa ujian lanjut tidak dijalankan terhadap elektrik detonator (peledak),” katanya menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Noorin Badaruddin semasa pemeriksaan utama.

Beliau juga mengaku tidak melakukan ujian lanjut terhadap kelopak peluru (magazine) kerana ia tidak berisi sebarang peluru walaupun ia serupa dengan satu lagi kelopak dan boleh dipadan atau digunakan pada sub mesingan HK MP5SD.

Begitu juga pemeriksaan lanjut ke atas peluru-peluru yang diuji tembak kerana tiada sebarang kepala peluru yang diserahkan kepadanya untuk dibuat perbandingan.

Ditanya tentang bahan-bahan bukti seperti ketulan lembut berwarna merah jambu (plastic explosive), Cutting Linear Charge (CLC) detonator cord dan peledak elektrik, jelas Shaari, kesemuanya tidak mampu berfungsi secara sendiri.

Bagaimanapun, katanya, satu letupan boleh dihasilkan sekiranya pemasangan lengkap dilakukan terhadap bahan-bahan itu.

Semasa disoal balas oleh peguam Ahmad Zaidi Zainal, beliau memberitahu bahan-bahan yang biasa terdapat di dalam peledak elektrik ialah lead azide atau mercury fulminate selain bahan asas Pentaerythritol Tetranitrate (PETN) dan Cyclotrimethylene Trinitramine (RDX).

Katanya, bahan-bahan itu tidak akan dijumpai walau selepas peledak diletupkan kerana kandungannya sangat kecil selain ia bertindak balas terhadap sesuatu letupan.

Ahmad Zaidi kemudiannya memaklumkan bahawa soalan-soalan berikutnya berkaitan dengan pengiraan dan meminta agar firing pin pada senjata api sub mesingan HK-MP5SD dikeluarkan untuk diukur.

Berikutan itu, mahkamah terpaksa berhenti rehat selama 15 minit bagi membolehkan ia dilakukan dengan bantuan seorang anggota polis sambil disaksikan oleh pihak pendakwaan dan pembelaan.

Bagaimanapun, perbicaraan tidak dapat diteruskan kerana vernier scale (tolok mikrometer) dan juga kalkulator untuk mengukur firing pin dan firing cap tidak dibawa oleh Shaari.

‘‘Saya minta maaf kerana Encik Kamarul Hisham dan Encik Ahmad Zaidi sudah memberitahu meminta Encik Shaari membawakan tolok mikrometer, tapi saya tersalah cakap minta dia bawa pembaris.

‘‘Sementara itu, kami memohon untuk memeriksa tandaan yang telah dibuat pada bahan bukti yang dikemukakan. Kami akan sediakan satu lagi senarai untuk memudahkan pihak mahkamah dan juga ahli patologi yang bakal hadir memberi keterangan,” kata Noorin.

0 comments: