Noritta: Mahkamah tangguh rayuan

KUALA LUMPUR: Mahkamah Persekutuan di sini, semalam menangguhkan keputusan terhadap rayuan pihak pendakwaan berhubung pembebasan jurutera Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) Hanif Basree Abdul Rahman, daripada tuduhan membunuh eksekutif pembangunan perniagaan, Noritta Shamsudin pada 2003.

Panel lima hakim diketuai Datuk Ariffin Zakaria membuat keputusan menangguhkan keputusan ke satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian selepas selesai mendengar hujah oleh Timbalan Pendakwa Raya, Wong Chiang Kiat dan peguam bela Hanif Basree, Datuk V Sithambaram.

Pihak pendakwaan merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan pada 29 Januari 2005 yang mengekalkan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Abdull Hamid Embong untuk membebaskan Hanif Basree tanpa mengarahkannya membela diri.

Hanif Basree, 37, dihadapkan ke Mahkamah Majistret pada 22 Disember 2003 atas tuduhan membunuh Noritta, 22, di Nombor D-7-1, Kondominium Puncak Prima Galleria, Sri Hartamas, antara jam 1.30 dan 4 pagi, 5 Disember 2003.

Dia kemudian dibicarakan di Mahkamah Tinggi pada Mei 2003 selama 29 hari dengan mahkamah mendengar keterangan 34 saksi, termasuk bapa dan adik perempuan Noritta.

Bagaimanapun, pada 1 Julai 2004, Abdull Hamid mengarahkan Hanif Basree dibebaskan apabila mendapati tiada kes prima facie untuknya membela diri, berikutan kegagalan pendakwaan membuktikan kes itu tanpa keraguan munasabah seperti yang dikehendaki undang-undang.

Berikutan itu, pihak pendakwaan memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan tetapi ditolak panel tiga hakim iaitu Datuk Mokhtar Sidin, Datuk Wira Ghazali Mohd Yusoff dan Tengku Datuk Baharuddin Shah Tengku Mahmud yang sebulat suara berpendapat keterangan mengenai seorang lelaki lain dalam kes itu menimbulkan keraguan sama ada Hanif Basree yang membunuh Noritta.

Terdahulu, Wong berkata, Hanif Basree patut diarah membela diri kerana keterangan yang dikemukakan pada peringkat pendakwaan cukup untuk membuktikan kes prima facie terhadap responden.

“Keterangan jelas membuktikan responden orang terakhir bersama mangsa.

“Mahkamah perlu melihat keterangan berkenaan secara keseluruhan dan bukan setakat mengambil kira bahagian tertentu dalam mencapai keputusannya,” katanya.

Sementara itu, Sithambaram ketika berhujah, berkata pihak pendakwaan sendiri gagal mengaitkan kematian mangsa secara langsung dengan responden.

“Tuduhan terhadap responden bukan membabitkan jenayah seksual, sebaliknya bunuh. Beliau tidak pernah menafikan hubungan seksualnya dengan mangsa, tetapi kes ini bukan setakat itu saja.

“Keterangan saksi yang dikemukakan jelas menimbulkan prasangka sama ada responden adalah orang terakhir bersama mangsa.

“Malah, dua rakan mangsa yang melihat dan menghidu seorang lelaki di rumah mereka sejurus selepas kematian mangsa, jelas membuktikan ‘orang ketiga’ itu bukan responden.

“Mereka mengenali beliau, malah responden juga seorang yang tinggi dan berbadan besar. Pasti mereka akan mengecamnya jika beliau yang keluar dari bilik mangsa pada malam itu,” katanya.

0 comments: