Kes surau dua imam belum selesai

SHAH ALAM: Surau Ar-Rahman di Seksyen 8 di sini yang ditutup sejak 18 Ogos lalu kerana menganjurkan solat dua imam hanya dibuka semula jika Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berpuas hati dengan penyelesaian isu pelantikan ahli jawatan kuasa.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama, Belia dan Mesra Rakyat negeri, Datuk Abdul Rahman Palil, berkata setakat ini surau masih ditutup kerana pertikaian segelintir ahli kariah dengan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) belum selesai.

"Kita hanya akan buka selepas Sultan berpuas hati,� katanya ketika ditanya bila surau itu dibuka semula berikutan rungutan penduduk bagi memudahkan mereka beribadat secara berjemaah.

Abdul Rahman ditemui selepas menghadiri Rumah Terbuka Aidilfitri Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) di sini, semalam.

Mengenai tindakan undang-undang yang diambil seorang ahli kariah kerana tidak puas hati dengan penutupan surau itu, Abdul Rahman berkata, pihak terbabit tersilap kerana menyaman Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan bukan Mais.

"Keputusan menutup surau bukan dibuat Jais, tetapi Mais yang bertanggung jawab terhadap surau dan masjid seluruh Selangor," katanya.

Jumaat lalu ketika merasmikan Masjid Sungai Udang, Klang, Sultan Sharafuddin kecewa dengan sikap ahli kariah itu kerana sanggup membawa kes itu ke mahkamah hanya kerana tidak puas hati dengan pelantikan ahli jawatan kuasa.

Surau Ar-Rahman ditutup selepas penduduk menganjurkan solat dua imam kerana tidak puas hati dengan pelantikan ahli jawatan kuasa baru.

Sebelum ditutup, Jais dan Mais mengeluarkan notis dengan memberi kata dua kepada jemaah surau, sama ada menyelesaikan perselisihan pendapat dan menghentikan amalan solat dua imam atau surau ditutup terus.

0 comments: