Muszaphar kahwin sebelum 2009


Sheikh Muszaphar.

KUALA LUMPUR 5 Nov. – Angkasawan pertama negara, Dr. Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha hari ini mengumumkan untuk menamatkan zaman bujangnya sebelum 2009.

Bagaimanapun, doktor bedah ortopedik Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) itu tidak memberitahu siapakah gadis pilihannya.

‘‘Saya kini sudah berumur 35 tahun. Saya sudah bersedia untuk berkahwin. Saya berharap untuk berkahwin sebelum 2009,” katanya kepada pemberita di bangunan Parlimen di sini hari ini.

Terdahulu, Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BNBBC) meraikan Sheikh Muszaphar dan Mejar Dr. Faiz Khaleed dalam satu majlis khas di Dewan Bankuet, Parlimen.

Kedua-duanya tiba di Parlimen pada pukul 1 tengah hari bersama Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Jamaluddin Jarjis.

Turut hadir ialah Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Ramli Ngah Talib; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz; Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Azmi Khalid dan ahli-ahli Parlimen.

Pelawat-pelawat yang kebetulan berada di Dewan Rakyat juga tidak ketinggalan untuk bergambar dengan Sheikh Muszaphar dan Faiz.

Kedua-dua angkasawan itu turut memasuki Dewan Rakyat ketika persidangan dimulakan pada pukul 2.30 petang.

Ditanya mengenai calon pilihannya, Sheikh Muszaphar berkata: ‘‘Ia adalah kehidupan peribadi saya.’’

Sementara itu, dalam ucapannya, Sheikh Muszaphar berkata, beliau tidak mengambil serius sindiran segelintir pihak terhadap kebolehannya.

‘‘Biarkan mereka kata apa sahaja... tetapi saya diiktiraf sebagai angkasawan oleh kerajaan Rusia dan juga Malaysia malah rakyat negara ini juga mengiktiraf saya sebagai angkasawan pertama negara.

‘‘Dengan doa semua orang, saya berjaya menjejakkan kaki ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS),” ujarnya.

0 comments: