Kejayaan bedah jantung di IJN resipi mengangkasa tamadun bangsa

KUALA LUMPUR 5 Nov. – Kejayaan sekumpulan doktor di Institut Jantung Negara (IJN) melakukan pemindahan jantung ke atas Muhammad Fikri Nor Azmi dan Tee Hui Yee merupakan salah satu resipi dalam usaha mengangkasa tamadun bangsa.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kedua-dua kejayaan itu merupakan hasil gabungan kepakaran perubatan pelbagai kaum yang disifatkan sebagai satu lambang perpaduan yang amat unik dan bersejarah.

Beliau berkata, ia juga lambang kejayaan kepakaran perubatan serta lambang kehebatan profesional bangsa di negara ini.

“Pembedahan adik Hui Yee, 14 tahun, pada 5 Oktober lalu melibatkan kumpulan perubatan terdiri daripada 24 orang Melayu, lima orang Cina dan lima orang India diketuai oleh Datuk Dr. Azhari Yakub dan Dr. Mohamad Ezani Md. Taib,’’ kata beliau.

Najib berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian serentak Persidangan Perwakilan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) malam ini.

Beliau berkata, kejayaan pembedahan pemindahan jantung ke atas Muhammad Fikri, 17, dan Hui Yee juga harus dijadikan iktibar iaitu jantung baru mereka diperoleh hasil derma daripada kaum lain.

“Kisah penderma dan penerima jantung baru-baru ini merentas sensitiviti antara kaum. Adik Muhammad Fikri telah menjalani pemindahan jantung di IJN pada 15 Disember 2005.

“Beliau telah menerima jantung daripada seorang penderma bukan Melayu. Sekarang beliau sihat dan hidup normal seperti remaja lain,” katanya.

Menurut Najib, begitu juga dengan Hui Yee yang menerima jantung yang didermakan oleh seorang remaja Melayu dan kemudian diganti dengan jantung seorang remaja Cina yang meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya.

“Inilah dua kisah benar yang menyentuh hati, menjadi lambang perpaduan yang amat unik dan bersejarah. Kisah ini juga amat baik untuk dijadikan resipi dalam mengangkasa tamadun bangsa,” tambahnya.

0 comments: