Kes bunuh Altantuya: 'Guna peledak kuasa tinggi'

Oleh Norhashimah Mohd Radzali

PETN, RDX hasil tindak balas supersonik mampu musnah persekitaran

SHAH ALAM: Seorang saksi memberitahu Mahkamah Tinggi di sini semalam, bahan letupan yang dikesan dalam kes pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu berkuasa tinggi dan kebanyakannya digunakan dalam aktiviti ketenteraan.

Ketua Unit Senjata Api dan Kesan Alatan Seksyen Jenayah, Bahagian Forensik Jabatan Kimia di Petaling Jaya, Shaari Desa, 40, berkata bahan letupan itu adalah pentaerythritol tetranitrate (PETN) dan cyclotrimethylene trinitramine (RDX).

Saksi ke-40 pihak pendakwaan itu berkata, PETN dan RDX akan menghasilkan tindak balas supersonik apabila meletup iaitu gelombang gegaran letupan berkenaan boleh dirasai dan memusnahkan persekitaran kerana kelajuan gelombangnya adalah tinggi.

Beliau berkata, PETN dan RDX adalah bahan letupan yang ditakrif mengikut Akta Letupan 1957.

Disoal Pendakwa Raya Noorin Badaruddin dalam pemeriksaan utama, Shaari berkata, halangan seperti bukit atau pokok pasti akan musnah jika ia berada pada jarak hampir dengan pusat letupan. Bagaimanapun, ia bergantung kepada jenis dan kuantiti bahan letupan yang digunakan.

Shaari berkata, dalam analisis yang dilakukannya, beliau menemui kesan kedua-dua bahan letupan terbabit pada rambut Altantuya, helaian plastik hitam, kepingan plastik dan keratan wayar yang dijumpai di tempat kejadian.

Katanya, beliau juga menemui PETN pada ketulan lembut berwarna merah jambu, serbuk putih di dalam 'detonating cord' (tali pintal peledak), putik kapas, cebisan plastik, keratan wayar dan tiga sampel tanah di tempat kejadian serta RDX pada serbuk putih di dalam 'cutting liner charge' (CLC).

Menjawab soalan Noorin, Shaari mengesahkan tiga sampel tanah itu diambil dari tempat kejadian kerana ketika beliau menerima bahan bukti itu, ia sudah sedia ada ditandakan 'tanah di tempat kejadian' di bahagian kepala, perut dan kaki.

Shaari bagaimanapun berkata, beliau tidak menemui sebarang kesan atau sisa letupan pada 20 putik kapas lain, sembilan cebisan plastik berwarna kelabu, tanah yang mempunyai satu cebisan berwarna putih, dua ketulan getah dan empat cebisan tulang, kepingan getah serta keratan wayar.

Disoal Noorin, Shaari mengesahkan daripada analisis dilakukannya, beliau hanya menemui bahan letupan PETN dan RDX dalam hasil ujikaji itu.

Saksi itu menyambung keterangannya pada hari ke-54 perbicaraan kes pembunuhan Altantuya, berhubung hasil analisis yang dilakukannya di makmal terhadap 70 bahan bukti yang diterimanya daripada pegawai penyiasat kes itu, Asisten Superintendan (ASP) Tonny Anak Lunggan.

Shaari berkata, beliau membuat analisis seperti diminta pihak polis iaitu pertama, bagi set sisa bahan letupan; kedua, perbandingan tanah yang ditemui pada jip milik tertuduh kedua, Koperal Sirul Azhar Umar, sama ada ia sama dengan contoh tanah di tempat kejadian dan ketiga, ujian terhadap senjata api serta kelongsong peluru.

Bagi analisis terhadap contoh tanah, Shaari berkata, dua sampel tanah yang diambil pada jarak 35 meter dan 50 meter dari tempat kejadian adalah sama, manakala dua tanah pada pelapik tayar kiri dan rim tayar kanan jip Sirul Azhar tidak sama.

Katanya, dua sampel tanah pada jip Sirul Azhar itu juga tidak sama dengan contoh tanah di tempat kejadian.

Noorin: Apakah kemungkinan kamu boleh berikan apabila ada contoh tanah yang serupa dan yang tidak serupa?

Shaari: Serupa berdasarkan ketumpatan kandungan komposisi tanah yang sama, dengan ini ia berasal dari lokasi yang hampir sama.

Noorin: Lokasi hampir sama, adakah bermaksud lokasi berhampiran atau lokasi di situ saja?

Shaari: Bermaksud di sekitar atau berhampiran dengan lokasi yang sama dan tanah itu berada pada tahap kedalaman yang serupa iaitu jika tanah itu diambil pada permukaan, maka tanah seterusnya juga diambil pada permukaan. Faktor cuaca turut memberi kesan yang besar pada kandungan tanah permukaan di suatu kawasan.

Disoal sama ada tanah yang diambil sebagai sampel itu berasal dari lokasi yang sama walaupun ketumpatannya berbeza, Shaari berkata: "Jika kedalaman berbeza dan tidak serupa, kemungkinan ia dari lokasi yang sama tetap ada."

Sementara itu, bagi analisis terhadap senjata api serta kelongsong peluru, Shaari berkata, sisa serbuk senjata api dikesan di dalam laras sub mesingan jenis MP5 tanpa kelopak peluru dan penyerap bunyi yang dipasang padanya.

"Bagi ujian pengesahan sama ada satu kelongsong peluru (ditemui di celah tempat duduk pemandu jip Sirul Azhar) adalah ditembak dari senjata sama, saya menjalankan satu uji tembak dengan menggunakan lima butir peluru hidup.

"Selepas perbandingan menggunakan alat mikroskop bandingan, saya mendapati tanda karektoristik (garis alur) pada satu kelongsong peluru berkenaan sama dengan lima kelongsong peluru dalam uji tembak," katanya.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Mohd Zaki Md Yasin bersambung hari ini.

0 comments: