45 pengikut al-Arqam dihadap ke mahkamah

Oleh Faiza Zainudin


AJARAN SESAT: Hatijah ketika hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Bandaraya, Batu Gantung, semalam.

Isteri Ashaari didakwa kembang ajaran bertentangan fatwa

GEORGETOWN: Seramai 45 pengikut kumpulan al-Arqam, termasuk isteri Ashaari Muhammad, Hatijah Aam, 53, dihadapkan ke Mahkamah Rendah Syariah Bandaraya, Batu Gantung di sini, semalam.

Tertuduh terdiri daripada 24 wanita dan 21 lelaki yang didakwa atas beberapa pertuduhan bagi menetapkan wang jaminan sementara menunggu tarikh sebutan kes.


Daripada jumlah itu, 33 pengikut termasuk dua remaja perempuan berusia 15 dan 18 tahun didakwa atas pertuduhan mengikut Seksyen 9 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Pulau Pinang (EKJSNPP) 1996 iaitu menghina atau mengingkari arahan pihak berkuasa agama.

Dua wanita termasuk Hatijah didakwa atas dua pertuduhan mengikut Seksyen 9 dan Seksyen 12, manakala empat orang termasuk dua lelaki didakwa atas tiga pertuduhan iaitu Seksyen 9, 12 dan 13.

Lima tertuduh lagi termasuk pensyarah kanan sebuah universiti di sini dan seorang juvana lelaki berusia 17 tahun didakwa atas dua pertuduhan mengikut Seksyen 9 dan Seksyen 13.


Seksyen 12 adalah berkaitan memberi, mengembangkan atau menyebarkan ajaran yang bertentangan dengan fatwa, manakala Seksyen 13 pula cuba mencetak, menyiar, menerbit, merakam, menyebar atau dengan apa-apa cara seperti buku dan rumah.

Semua tertuduh boleh didenda sehingga RM3,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan bagi setiap pertuduhan.

Pegawai Pendakwa Syarie, Khairul Azman Azizan yang membaca pertuduhan satu persatu ke atas tertuduh selama dua setengah jam bermula jam 3.30 petang, memohon mahkamah menetapkan jaminan RM2,500 ke atas setiap tertuduh.

Tertuduh yang terdiri daripada pensyarah, pelajar sekolah, suri rumah, dan peniaga, merayu wang jaminan dikurangkan kerana kurang berkemampuan serta mempunyai ramai tanggungan.

Semua tertuduh tidak diwakili peguam kecuali Hatijah yang diwakili Sharifah Mohd Jahaya.

Hakim Syarie, Mohd Ridzuan Ghazali menetapkan jaminan RM1,000 hingga RM2,000 dan tarikh sebutan kes pada 6 Disember depan.

Hanya dua orang termasuk Hatijah membayar jaminan, manakala 40 lagi dihantar ke Penjara Pulau Pinang. Tiga lagi juvana dibebaskan dengan jaminan oleh keluarga masing-masing.

Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah (Penguatkuasaan dan Pendakwaan) Jabatan Agama Islam Pulau Pinang (Jaipp), Jaafar Ismail, berkata pihaknya akan mengeluarkan notis kepada enam lagi lelaki yang gagal hadir, semalam.

Terdahulu, tertuduh yang tiba di mahkamah dengan dua bas polis pada jam 2.30 petang, kelihatan ceria dan tenang termasuk Hatijah yang memakai tudung merah dan berjubah coklat.

Semua mereka termasuk dua wanita yang membawa bayi, diberi makan sebelum dibawa masuk dalam mahkamah dalam keadaan berhimpit-himpit kerana ruang yang sempit.

0 comments: