TNB: Untung berbilion tapi tarif naik saban tahun

Lifeboat
Tue | Nov 06, 07 | 8:36:38 am MYT

Bahagian 1 | Pada bulan awal Ogos 2007, Kasmuri Jasman dan isteri serta tiga orang anaknya rentung. Puncanya ialah api lilin yang menggantikan lampu elektrik setelah bekalan elektrik ke rumahnya di potong lima hari terdahulu apabila Kasmuri gagal menjelaskan tunggakan bil api sebanyak RM800 kepada TNB.

Belum tiga bulan berlalu selepas tragedi yang menimpa ke atas Kasmuri, akhbar Berita Harian (26 Oktober 2007) melaporkan: TNB untung RM3.6 bilion: TENAGA Nasional Bhd (TNB) meraih keuntungan bersih sebelum mengambil kira keuntungan tukaran asing berjumlah RM3.6 bilion dalam tahun kewangan berakhir 31 Ogos 2007, meningkat 120.6 peratus daripada RM1.6 bilion dalam tempoh sama tahun lalu. Dalam tahun kewangan dikaji, syarikat tenaga itu meraih keuntungan tukaran asing berjumlah RM452.3 juta.

Beberapa hari sebelum itu pula akhbar Utusan Malaysia (27 Oktober 2007) Pak Lah mengumumkan bahawa kerajaan belum membuat keputusan sama ada mahu menaikkan tarif elektrif. Kenyataan tersebut dibuat ekoran kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Che Khalib Mohamad Noh sebelum itu yang menyebut “pihaknya kini menanggung kos operasi yang tinggi berikutan kenaikan harga minyak dan gas serta arang batu di pasaran.”

Tidak ada sesiapapun yang dapat menafikan betapa kos bahan api bagi menjana tenaga elektrik terus meningkat dari semasa ke semasa. Dengan mengambil faktor kos utama ini, kita tentulah mengandaikan keuntungan bersih TNB akan berkurangan dari masa ke masa.

Namun, di sebalik alasan harga bahan api yang meningkat, keuntungan bersih TNB terus mencatatkan peningkatan sebagaimana yang dilaporkan dalam laporan tahunan badan korporat berkenaan.

Keuntungan sebelum cukai TNB menurut penyata kewangan berauditnya adalah seperti berikut: 2002 (RM1.5135 bilion); 2003 (RM1.6485 bilion); 2004 (RM1.4827 bilion); 2005 (RM1.8189); 2006 (RM2.7519) dan bagi 2007 seperti yang dijelaskan TNB keuntungan bersih adalah RM3.6 bilion.

Tentulah pelik bagaimana TNB bukan sahaja dapat mengekalkan paras keuntungan tahunan malah mencatatkan peningkatan tahun demi tahun walaupun terpaksa membayar kos bahan api yang terus meningkat. Secara logiknya, apabila kos bahan api meningkat, kita sepatutnya menyaksikan peratus keuntungan yang merosot berbanding dengan perolehan. Tetapi nampaknya TNB berjaya mengekalkan peratus keuntungannya tahun demi tahun.

Prestasi yang begitu menakjubkan ini tentulah tidak mungkin berlaku sekiranya perkhidmatan bekalan elektrik awam masih lagi menjadi tanggungjawab kerajaan yang sepenuhnya.

Pada tahun 1949 apabila kerajaan British yang memerintah Tanah Melayu ketika itu menubuhkan Central Electricity Board (CEB) matlamat utama mereka adalah bagi menyediakan bekalan tenaga elektrik kepada rakyat. Setelah negara mencapai kemerdekaan dan apabila CEB ditukar namanya menjadi Lembaga Lektrik Negara (LLN) pada 22 Jun 1965, matlamat asal agensi milik kerajaan itu kekal seperti sebagaimana sejarah penubuhannya.

kenaikan harga minyak

Di antara tahun 1949 hingga tahun 1965 sehinggalah tahun 1990, LLN telah berkali-kali menaikkan kadar tarif elektriknya. Ini termasuklah kenaikan ketara ekoran dari kenaikan harga minyak dunia pada tahun 1967 (di ambang Perang Enam-Hari di antara Arab Israel) dan krisis minyak tahun 1973 apabila Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Minyak (OPEC) mengambil keputusan memberhentikan pengekportan minyak kepada negara sekutu Israel. OPEC dalam pada itu menaikkan harga minyak di pasaran dunia (ekoran dari Perang Yom-Kippur yang berterusan pada ketika itu).

Namun di sebalik kesemua kenaikan itu, rakyat tidaklah begitu merungut. Ini kerana boleh dikatakan hampir kesemua kenaikan tarif bekalan elektrik ketika itu bersifat marginal dan tidak terlalu membebankan rakyat. (Dalam pada itu, walaupun undang-undang mengawal harga barangan utama belum wujud, namun segala kenaikan barangan dan perkhidmatan ketika itu masih lagi dalam had toleransi yang boleh diterima oleh kebanyakan rakyat).

Ketika itu, LLN selaku pembekal utama tenaga elektrik negara terus memainkan peranannya dalam membekalkan tenaga termasuk memperluaskan perkhidmatannya dari semasa ke semasa. Sementara itu, kerajaan pada ketika itu juga turut menjalankan kewajipan dan tanggungjawabnya terhadap rakyat dengan menyediakan peruntukan tahunan kepada LLN.

Soal untung atau rugi, tidak timbul dan tidak menjadi masalah. Perkhidmatan penting (essential services) yang berkaitan dengan rakyat seperti membekalkan tenaga elektrik tidak dilihat sebagai satu penerokaan komersil.

Namun keadaan ini mengalami perubahan drastik apabila Tenaga Nasional Berhad (TNB) ditubuhkan pada 1 Februari 1990 menerusi Akta Bekalan Elektrik (Syarikat Pengganti) 1990 dan kemudiannya sahamnya disenaraikan dalam papan utama Bursa Malaysia (ketika itu masih dikenali sebagai Bursa Saham Kuala Lumpur).

Era 1990-an itu terutamanya pada awal dekad 1990-an, adalah merupakan kesinambungan kepada era 1980-an di mana “Dasar Pandang ke Timur” masih merupakan slogan popular dan penswastaan beberapa perkhidmatan kerajaan sedang rancak dilaksanakan.

Sebagai sambungan kepada perubahan-perubahan radikal dalam falsafah kenegaraan ini muncul pula keghairahan penglibatan orang Melayu dalam aktiviti jual-beli saham. Ia bukanlah bersifat pelaburan jangka panjang tetapi lebih kepada spekulasi harga.

Tentu ramai masih ingat bagaimana orang Melayu termasuk pemandu teksi dan peniaga pasar malam turut bercakap tentang sentiman pasaran. Dalam pada itu ramai yang memperbadankan syarikat sendirian berhad (walaupun tidak ada perniagaan yang dijalankan) bagi melayakkan diri memohon saham beberapa syarikat kerajaan seperti Telekom Malaysia yang baru diswastakan dan juga HICOM apabila Kementerian Kewangan ketika itu bermurah hati untuk memberikan 10,000 unit saham kepada mereka yang berjaya dalam permohonan masing-masing.

Pembiayaan kewangan boleh dikatakan hampir pasti. Cagarannya adalah saham-saham berkenaan. Dan keuntungan yang bakal diperolehi dari aktiviti pengambilan untung juga begitu pasti kerana sebaik sahaja saham-saham disenaraikan di bursa, malah seawal hari pertama lagi, harganya terus melonjak naik.

Di tengah-tengah keghairahan ini TNB muncul dalam senario penswastaan dan dilihat oleh pemain-pemain kecil pasaran termasuk rakyat berketurunan bukan Melayu sebagai sebuah lagi ‘lombong emas’ segera.

pink-form

Dalam keghairahan baru ini, mungkin tidak keterlaluan jika dikatakan mereka yang berjaya dalam permohonan mendapatkan borang merah jambu (pink-form) dan kemudiannya mendapat durian runtuh menerusi perbezaan harga di peringkat Tawaran Awam Permulaan (Initial Public Offering atau IPO) terlepas pandang, sekiranya TNB diletakkan dalam keadaan perlu bersaing bagi mengekalkan prestasi kewangan, maka pertimbangan dan obligasi terhadap rakyat tidak mungkin lagi menjadi agenda utama.

Justeru, sementara ‘peranan’ TNB masih lagi sebagai pembekal tenaga utama kepada negara dan rakyat, tetapi ‘matlamat’ dan ‘orientasi’ badan itu sudah tentu akan mengalami perubahan radikal.

Menyedari akan hal inilah, Tun Dr. Mahathir selaku Perdana Menteri dan tokoh yang mempelopori penswastaan serta yang menjadi mastermind kepada dasar tersebut memberikan amaran dan juga amanat ketika berucap di Ibu Pejabat TNB di Kuala Lumpur pada 4 Mei, 2001.

Akhbar Utusan Malaysia (5 Mei, 2001) melaporkan: KUALA LUMPUR 4 Mei - Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad hari ini memberi jaminan bahawa kerajaan tidak akan menswastakan sepenuhnya industri bekalan tenaga elektrik negara.

Ini kerana, kata beliau, kerajaan yakin Tenaga Nasional Berhad (TNB) berkeupayaan menggunakan pengalamannya yang luas untuk mengurus dan menyediakan bekalan elektrik yang mencukupi kepada rakyat dan negara.

Walaupun pihak swasta juga memainkan peranan yang penting dalam industri itu, menurut Dr. Mahathir, ia tidak sebesar peranan TNB. Bagi Perdana Menteri, pihak swasta mungkin akan hanya mementingkan keuntungan sedangkan TNB selaku agensi di bawah kerajaan yang dipilih rakyat akan turut memberi keutamaan kepada keselesaan mereka.

Namun di era 2000, sebagai apa yang tampak begitu ketara, TNB seolah-olah tidak lagi “memberi keutamaan kepada keselesaan mereka (rakyat)”. Sebaliknya TNB mengorak langkah baru yang menepati visi korporatnya: To be among the leading corporations in energy and related businesses globally.

Misi korporat TNB pula yang berbunyi: We are committed to excellence in our products and services tidak mencerminkan komitmen badan tersebut kepada rakyat.

Justeru laman rasmi web TNB dengan bangganya menjelaskan betapa ia adalah syarikat utiliti Malaysia dengan aset melebihi RM65 bilion dan asas pelanggan sebanyak 6.8 juta. TNB juga mejelaskan ia adalah satu-satunya syarikat tenaga yang tersenarai dalam 50 syarikat tenaga terbesar di Asia pada tahun 2006 dan dikadarkan oleh sebuah agenda perkadaran antarabangsa sebagai menduduki tangga ke-168 dalam senarai 250 Global Energy Companies yang terbesar.

Perangkaan seperti ini adalah amat menarik. Ia boleh diinterpretasikan betapa TNB diuruskan dengan begitu baik sehingga berjaya mengekalkan prestasi kewangan dalam sebutan bilion ringgit dan memiliki aset iaitu tanah, bangunan, loji serta lain-lain harta dan mungkin juga ikhsan (goodwill) yang berjumlah RM65 juta. Ia juga berbangga dengan asas pelanggan yang menghampiri 7 juta.

Pokoknya, TNB seperti yang ada kini adalah sebuah ‘dream corporation’. Tapi mungkin ramai yang terlupa betapa sebahagian besar dari nilai aset itu dalah berpunca dari permodalan perbezaan di antara nilai namaan (nominal value) ketika semua harta itu dianggap sebagai harta kerajaan (di bawah CEB, LLN) dengan nilai pasaran semasa apabila aset itu dipindahmilikkan kepada TNB yang berstatus syarikat.

Begitu juga dengan asas pelanggan yang merupakan rakyat Malaysia termasuk rakyat marhaen seperti Kasmuri dan mungkin lagi jutaan lagi Kasmuri, yang terpaksa mengikat perut hanya kerana terpaksa menjelaskan bil elektrik yang tarifnya tidak setimpal dengan pendapatan mereka bagi memastikan TNB dapat mengekalkan prestasi kewangan dalam sebutan bilion dan bagi memenuhi visinya. Persoalannya apakah ini sebenarnya merupakan satu kejayaan? (bersambung)


0 comments: