Mengangkasakan bangsa



UNTUK BANGSA: Najib bersama pemimpin Wanita, Pemuda dan Puteri bersemangat menyanyikan lagu Negaraku ketika merasmikan serentak ketiga-tiga persidangan pergerakan itu di PWTC, malam tadi.

Melayu perlu pasang impian untuk jadi terhebat dalam persaingan global: Najib

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak mahu generasi muda Umno menggalas amanah mengangkasakan tamadun bangsa bagi mengangkat martabat orang Melayu ke tahap setinggi yang mungkin dalam 50 tahun kedua pembinaan peradaban negara.

Timbalan Presiden Umno menegaskan orang Melayu mesti menjadi 'bangsa angkasa', iaitu bangsa yang sentiasa mempunyai impian tertinggi dan memiliki tamadun yang hebat untuk cemerlang dalam persaingan global.


"Bangsa kita yang sekian lama berkampung di hulu dan membumi di darat, perlu menerokai proses pengantarabangsaan dan pengangkasaan.

"Dalam persaingan global sekarang ini tidak cukup dengan mengantarabangsakan Melayu. Malah, kita sudah sampai ke tahap tertinggi, iaitu mengangkasakan bangsa kita," katanya ketika merasmikan serentak persidangan perwakilan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, malam tadi.

Hadir sama, Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Rafidah Aziz; Ketua Pemuda Umno, Datuk Seri Hishamuddin Hussein dan Ketua Puteri Umno, Datuk Noraini Ahmad. Seramai 791 perwakilan Wanita, Pemuda (787) dan Puteri (773) akan bersidang hari ini.

Dalam ucapan bertema 'Mengangkasa Tamadun Bangsa', Timbalan Perdana Menteri berkata, 'mengangkasa' bermaksud menggemilangkan atau memartabatkan sesuatu daripada yang sudah ada sekarang, ke tahap yang lebih tinggi.

"Ia bukan sekadar terbang ke angkasa atau naik ke langit, tetapi melambangkan usaha sehabis baik untuk menjadikan impian yang dianggap mustahil, dapat menjadi realiti pada suatu masa nanti," katanya.

Sambil mengimbau sejarah perjuangan memartabatkan bangsa Melayu, Najib berkata mengangkasa tamadun bangsa memerlukan usaha berterusan dan nostalgia warisan lepas dijadikan teladan serta sempadan.

Katanya, tamadun yang holistik merangkumi himpunan membabitkan agama, budaya, warisan, bahasa, sejarah, kesenian, sains, teknologi, kreativiti, inovasi, bangunan, gedung ilmu, prasarana desa, pekan, kota dan kehidupan masyarakat sesebuah negara.

Sehubungan itu, Timbalan Perdana Menteri menggariskan lima teras utama untuk mengangkasakan tamadun bangsa.

Menjelaskan lima teras berkenaan, Najib berkata, orang Melayu perlu mencipta pemikiran baru dalam persekitaran dan realiti baru supaya roh perjuangan sentiasa segar dan relevan kerana kuasa minda paling penting bagi memastikan kegemilangan tamadun yang dibina.

Justeru, katanya, minda Melayu perlu dipacu dengan pembelajaran dan latihan mengenai pemikiran positif, kreatif, lateral, proaktif dan inovatif.

"Dengan semangat glokal dan kuasa minda yang hebat, maka kejayaan demi kejayaan akan terus kita capai," katanya sambil merujuk kejayaan angkasawan pertama negara, Dr Sheikh Muszhapar Shukor serta pemilihan Hishammuddin sebagai Ahli Lembaga Eksekutif Unesco dan pelancaran KD Tunku Abdul Rahman yang berlaku berturut-turut dalam tempoh kurang 48 jam, bulan lalu.

Najib berkata, orang Melayu juga mesti menghayati dan mengamalkan semangat surah Iqra, iaitu suruhan menuntut ilmu kerana kegemilangan peradaban hanya dapat dibina semula menerusi ilmu dan generasi Ulul Al-Bab.

Beliau berkata, pelaburan terpenting sesebuah keluarga Melayu bukan sekadar memiliki tanah, rumah dan kereta besar, tetapi memastikan anak cucu menguasai ilmu dan berjaya dalam pendidikan setinggi mungkin.

Selain itu, katanya, perjuangan mulia mendaulatkan Islam perlu dikekalkan dalam negara Islam seperti Malaysia dan Umno sebagai peneraju, pembela dan pejuang agama, tidak boleh tergelincir daripada landasan kebenaran atau menggadai prinsip.

Katanya, pendekatan Islam Hadhari adalah contoh kreatif pemikiran yang melihat Islam melebihi kebiasaan daripada agama yang hanya berbentuk ritual dan umat Islam wajar menjadi contoh termasuk dalam mencipta sejarah dan membina personaliti terbilang seperti pada zaman kegemilangannya.

Seterusnya, Timbalan Presiden Umno berkata, "budaya wiraswasta", iaitu bijak dan berkebolehan dalam mengusahakan perniagaan secara profesional serta karier sebagai usahawan, mesti dipupuk sejak di bangku sekolah lagi bagi meningkatkan ekonomi Melayu.

Katanya, orang Melayu mesti terbabit secara aktif dalam dalam bidang ekonomi, terutama dalam lima koridor pembangunan ekonomi yang sedang dilaksanakan kerajaan supaya pengagihan kekayaan negara lebih merata.

"Jangan sekali lagi untuk sekian kalinya, peluang sebesar ini kita lepaskan berlalu tanpa berbuat sesuatu untuk membuat lonjakan berganda, memperkasa ekonomi bangsa dan negara," katanya.

Terakhir, kata Najib, kestabilan politik menjadi prasyarat kepada tamadun bercirikan keamanan, keharmonian dan kemakmuran yang ingin dibina dan ia hanya dapat dicapai dengan kemenangan majoriti lebih dua pertiga.

Pada masa sama, katanya, masyarakat perlu memerangi jenayah dan saling ambil peduli kesengsaraan orang lain demi memastikan ketenteraman awam.

"Kadang-kadang kita terlupa bahawa keamanan tidak terjadi dengan sendiri. Ada negara yang sentiasa bergolak disebabkan pelbagai hal. Mereka mati berperang dan kebuluran.

"Sebaliknya orang kita pula mati kemalangan jalan raya atau sebab tidak menjaga makan. Tidak dinafikan ada perkara yang boleh dibaiki, namun secara umumnya, rakyat berpuas hati hidup aman, makmur dan harmoni," katanya yang mengakhiri ucapannya dengan doa memohon perpaduan Melayu, kedamaian dan kemakmuran negara serta kejayaan mengangkasakan tamadun bangsa.

INFO: Teras mengangkasakan tamadun bangsa

  • Bangsa glokal yang berminda kelas pertama sebagai peneraju.
  • Ilmu dan pendidikan sebagai landasan pembinaan.
  • Agama dan budaya sebagai asas peradaban.
  • Pertumbuhan dan pengagihan ekonomi sebagai kekuatan.
  • Kestabilan politik sebagai prasyarat.

0 comments: