Skuad Kenari mula serasi

Oleh Shariza Abdullah

ALOR STAR – Tiada apa yang lebih melegakan ketua jurulatih bola sepak Kedah, Mohd. Azraai Khor Abdullah ketika ini apabila melihat pasukan yang dibentuknya untuk mengharungi saingan musim depan menampakkan keserasian dan persefahaman lebih jitu berbanding sebelum ini.

Malah jurulatih berusia 55 tahun itu turut lega apabila memiliki pilihan pemain yang mempunyai kemampuan hampir setanding di setiap posisi.

Lebih memberi harapan kepada jurulatih yang membawa Sang Kenari merangkul tiga kejuaraan mengenai skuad tersebut musim depan ialah persaingan positif antara kesemua pemain untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama.

“Semua pemain kini begitu bersemangat dan bersungguh-sungguh untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama. Apa yang melegakan ialah pemain-pemain yang ditawarkan kontrak dengan Kedah musim ini mempunyai kemampuan yang hampir setanding di posisi masing-masing.

“Keadaan ini boleh dilihat dalam perlawanan persahabatan menentang Pulau Pinang kelmarin apabila Badrol Bakhtiar menjaringkan hatrik. Posisi tersebut kini menjadi rebutan antara Badrol dengan Khyril Muhymeen.

“Persaingan sengit untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama dan kebolehan hanpir setanding antara pemaian di setiap posisi sebenarnya telah memantapkan lagi pasukan Kedah,” katanya di sini semalam.

Dalam perlawanan persabahatan menentang Pulau Pinang malam kelmarin, Kedah menang 4-2 menerusi jaringan hatrik Badrol manakala Zairul Fitri yang baru menyertai Kedah musim ini menyumbangkan satu gol.

Kedah akan melalui satu lagi perlawanan ujian iaitu menentang Selangor pada 11 November ini sebelum sepak mula Liga M yang dijadualkan seminggu selepas itu.

Bagaimanapun Mohd. Azraai berkata, kemampuan dan kebolehan sebenar anak buahnya itu untuk mengekalkan karektor sebagai pasukan juara hanya akan teruji apabila musim baru bermula.

Dalam pada itu, dia memberitahu skuad Kedah yang kini lengkap apabila kesemua pemain termasuk ketiga-tiga pemain import telah melaporkan diri di kem Hijau Kuning sedang berkampung di Langkawi selama tiga hari bermula semalam.

Di pulau peranginan itu, katanya, mereka akan melupakan seketika padang bola sebaliknya akan menumpukan ke arah membentuk kekuatan metal dan kecergasan para pemain.

0 comments: