YB ‘ponteng’ berulang

Oleh Magendran Rajagopal

KUALA LUMPUR: Isu ketidakhadiran Ahli Parlimen di Dewan Rakyat timbul semula. Semalam, sehingga jam 11.45 pagi, hanya 48 daripada 219 ahli hadir dan menjelang petang hanya 26 terus berada dalam dewan, iaitu jumlah korum minimum bagi membolehkan dewan bersidang.

Ketidakhadiran mereka menyebabkan beberapa soalan tidak dapat dikemukakan sehingga ditegur oleh Speaker, Tan Sri Ramli Ngah Talib dan mengarahkan petugas merekodkan kehadiran Ahli Parlimen.

Beliau membuat teguran kira-kira jam 11 pagi selepas Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Mahadzir Mohd Khir tidak hadir untuk mengemukakan soalannya. Ketika itu itu, kira-kira 40 Ahli Parlimen berada dalam Dewan.


"Yang tak hadir kena rekod. Banyak sangat yang tak hadir hari ini (semalam)," katanya.

Sebelum itu soalan pertama daripada Datuk Tengku Putera Tengku Awang (BN-Hulu Terengganu) dan soalan keenam daripada Tuan Billy Abit Joo (BN-Hulu Rajang) tidak dikemukakan kerana kedua-duanya tidak hadir.

Apabila sesi soal jawab berakhir jam 11.45 pagi tujuh Ahli Parlimen yang soalan mereka tersenarai dalam Aturan Urusan Mesyuarat tidak hadir, sekali gus isu yang mereka bangkitkan tidak berjawab walaupun pihak kerajaan sudah bersedia.


Tiada seorang pun menteri kabinet menghadiri sidang pagi semalam, manakala hanya tiga Timbalan Menteri iaitu Datuk Ong Tee Keat (Pengajian Tinggi), Datuk Datuk Shaziman Abu Mansor (Kementerian Tenaga, Air dan komunikasi) dan Datuk Dr Tiki Lafe (Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah) kelihatan dalam Dewan.

Difahamkan, kebanyakan Menteri berada bersama Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang melawat Terengganu dan Kelantan bagi melancarkan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER).

Sementara itu, ketika ditemui pemberita, Ramli berkata persidangan Dewan Rakyat boleh diteruskan kerana ketidakhadiran beberapa anggota Parlimen tidak menjejaskan persidangan.

Katanya, ia berlaku pada masa tertentu kerana Ahli Parlimen yang tidak hadir berkemungkinan mempunyai sebab tidak dapat dielakkan.

"Mereka mungkin mempunyai sebab seperti berada di luar negara atau sebagainya. Buat masa ini, saya tidak boleh komen sebab kita belum tahu alasan mereka tidak dapat hadir untuk menyoal (kemukakan soalan).

"Kita akan rekod. Kalau misalnya tidak ada alasan yang baik, pada masa depan kita akan pertimbangkan tentang soalan mereka (yang akan dikemukakan)," katanya selepas menerima kunjungan Speaker Parlimen Sri Lanka, WJM Lokubondera di pejabatnya di bangunan Parlimen.

0 comments: