28 calon akhir anugerah kemanusiaan

KUALA LUMPUR: Seramai 28 calon daripada 75 penyertaan disenarai pendek panel hakim Anugerah Kemanusiaan Malaysia (MHA) bagi mengenal pasti penerima anugerah berkenaan yang akan disampaikan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, Disember ini.

MHA dianjurkan The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP) dengan kerjasama PricewaterhouseCoopers (PwC) adalah majlis penganugerahan bagi mengiktiraf sumbangan individu dan organisasi dalam membantu golongan memerlukan.

Ia diadakan buat kali keempat tahun ini membabitkan pengiktirafan tiga kategori iaitu Anugerah Kemanusiaan Berkumpulan, Anugerah Kemanusiaan Muda dan Anugerah Kemanusiaan Sepanjang Hayat.


Daripada jumlah yang disenarai pendek itu, tujuh calon bertanding bagi kategori Anugerah Kemanusiaan Muda (AKM), 15 untuk Anugerah Sepanjang Hayat (AKSH) dan enam lagi bagi Anugerah Kemanusiaan Berkumpulan (AKB).

Pengurus Kanan Pemasaran NSTP, Wan Abdillah Wan Nawi, berkata jumlah pencalonan tahun ini meningkat berbanding tahun lalu.

“Tahun ini kita menerima 75 penyertaan berbanding 56 orang tahun lalu. Panel hakim akan menjalankan sesi pemilihan pemenang pada 27 November ini dan majlis anugerah akan diadakan pada Disember ini,” katanya ketika ditemui di Balai Berita di sini, semalam.


Penilaian bagi anugerah bagi kerja amal dan kebajikan bagi Anugerah Kemanusiaan Berkumpulan dan Muda dilakukan antara 1 Januari 2006 sehingga 31 Disember 2006, manakala Anugerah Kemanusiaan Sepanjang Hayat pula memerlukan sumbangan sekurang-kurangnya 10 tahun.

Antara panel hakim terbabit dalam proses menyenarai pendek calon penilaian diketuai bekas Menteri Perusahaan Utama, Datuk Paul Leong ialah Pengerusi Tenaga Nasional Bhd (TNB), Tan Sri Leo Moggie; Ketua Pegawai Eksekutif DiGi Telecommunications Sdn Bhd, Morten Lundal dan Ketua Jabatan Korporat dan Hubungan Antarabangsa Suruhanjaya Sekuriti, Hardev Kaur.

0 comments: