Dr Faiz kembali ke tanah air

SEPANG: Seorang lagi angkasawan negara, Mejar Dr Faiz Khaleed, selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), semalam, dari Moscow, Russia, selepas kali terakhir kembali ke negara ini Julai lalu untuk melaksanakan misi angkasa negara.

Dr Faiz yang tiba menaiki pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH091 pada jam 8.13 pagi, disambut ibu bapanya, Khaleed Abdullah dan Mazenah Mohamad; Ketua Pengarah Pusat Kajian Angkasa Lepas, Datuk Dr Mazlan Othman; ahli keluarga terdekat dan kakitangan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti).

"Saya gembira kerana dapat kembali ke tanah air," katanya ketika ditemui wartawan.


Mengikut jadual asal, beliau sepatutnya pulang bersama Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha dan Pengarah Program Angkasawan Negara, Kolonel Dr Zulkeffeli Mat Jusoh, kelmarin, tetapi terpaksa ditangguh kerana ketiadaan tiket penerbangan.

Sheikh Muszaphar tiba di KLIA kelmarin, jam 5.07 petang untuk menghadiri majlis pengebumian adiknya, Sheikh Mustaffa Shukor Al Masrie yang meninggal dunia selepas koma lebih seminggu lalu akibat terhantuk tiang di sebuah restoran di Jalan Klang Lama, Petaling Jaya.

Dr Faiz berkata, beliau sekeluarga akan mengunjungi keluarga Dr Sheikh Muszaphar untuk menyampaikan takziah.


Beliau dan Dr Sheikh Muszaphar akan pulang semula ke Star City, Russia minggu depan bagi menghadiri majlis pentauliahan sebagai angkasawan pada 9 November ini.

Difahamkan satu sidang media khas bersama dua angkasawan itu akan diadakan di sini hari ini bagi membolehkan mereka berkongsi pengalaman bersama rakyat Malaysia.

0 comments: