‘Saya sedia berlatih di Nasa’

Oleh Sazarina Shahrim

KUALA LUMPUR: Angkasawan pertama Malaysia, Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha kecewa dan menyangkal dakwaan sesetengah pihak, kononnya beliau hanya ‘pelancong angkasa’ dan program angkasawan negara itu adalah satu pembaziran wang rakyat.

Beliau yang kesal dengan dakwaan itu berjanji untuk membuktikan bahawa dirinya setanding angkasawan lain serta bersedia berlatih di Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (Nasa) Amerika Syarikat, supaya isu itu tidak lagi dibangkitkan.

“Saya dilatih lebih setahun di Russia dan latihan ini berbeza dengan latihan yang perlu diikuti pelancong angkasa. Pihak Russia juga sudah mengiktiraf saya sebagai ‘cosmonaut’ (angkasawan).


“Namun, apa yang penting kepada saya ialah saya diiktiraf sebagai angkasawan oleh rakyat Malaysia,” katanya kepada Berita Harian ketika dihubungi di sini, semalam.

Doktor pakar bedah ortopedik berusia 35 tahun lepasan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu berkata, keyakinan terhadap kemampuannya sebagai angkasawan terbukti hingga agensi angkasa dari Eropah dan Jepun mahu supaya beliau melakukan penyelidikan bagi pihak mereka.

Beliau yang akan kembali semula ke Russia, 6 November ini akan menghadiri majlis pentauliahan sebagai ‘cosmonaut’ bersama Kapten Dr Faiz Khaleed pada 9 November.


Dr Muszaphar berkata, menjadi angkasawan pertama negara hanya satu permulaan kerana tanggungjawabnya selepas ini lebih besar terutama dalam mengubah mentaliti rakyat negara ini terhadap ilmu sains dan angkasa.

“Menjadi angkasawan bukan sesuatu yang glamor. Ia adalah tanggungjawab dan amanah negara. Saya mahu mengubah persepsi masyarakat terhadap ilmu sains dan angkasa supaya perubahan minda dapat dilakukan dalam memastikan negara yang gemilang pada masa depan.

“Saya juga bersedia untuk memikul tugas berat itu yang diharap akan dapat dimulakan untuk generasi muda,” katanya.

Katanya lagi, program angkasawan perlu diteruskan bagi memastikan kesinambungan terhadap kejayaan negara untuk meneroka angkasa lepas dengan lebih mendalam.

Mengenai kematian adiknya, Sheikh Mustaffa Shukor Al Masrie, 32, beliau reda dengan kejadian itu walaupun tidak dapat menatap wajah adiknya itu buat kali terakhir sebelum dikebumikan.

“Ibu (Datin Zuraida Sheikh Ahmad) asyik menangis sepanjang malam dan saya berada di sisinya untuk memberi semangat kepadanya melalui saat sedih seperti ini.

“Anak saudara saya pula (Sheikh Aiman Shukor) baru berusia tiga tahun dan belum faham bapanya sudah tiada lagi,” katanya.

0 comments: