Penangguhan Sains, Matematik dalam BI bukti dasar Umno/BN caca merba

Ustaz Idris Ahmad
Tue | Oct 30, 07 | 11:48:47 am MYT

Kita terkejut dengan kenyataan Menteri Pelajaran, Dato' Seri Hishammuddin Hussein bahawa kerajaaan akan menangguhkan penggunaan bahasa Inggeris sepenuhnya dalam mata pelajaran Sains dan Matematik pada 2008.

Image

Apa sudah jadi dengan dasar BN/Umno yang haru biru. Pada kita ini adalah kerana satu petanda aras bahawa pilihan raya semakin dekat. Mereka takut jika tidak mendapat sokongan terutama daripada pengundi Cina. PAS daripada awal menentang pelaksanaan itu.

Sekarang mala petaka pelaksanaan ini sudah menimpa para pelajar terutama pelajar di luar bandar. Hari ini baru pemimpin Umno sedar tentang kegagalan sistem ini yang dibuat tanpa kajian yang mendalam.

Inilah akibat dasar sombong yang hanya mementingkan projek untuk kepentingan kroni mereka. Projek yang ditentang dengan lantang oleh tokoh bahasa dan golongan cerdik pandai seperti Prof Nik Safiah Karim (UM), Prof Dr Abdullah Hassan (UPSI) dan ramai lagi termasuk pakar Matematik, Prof Dr Shahrir Mohd Zin (UKM).

Cuma yang sokong projek ini pemimpin Umno daripada atas sampai ahli JKKK yang tidak gemar baca surat khabar.

PAS daripada awal menentang usaha ini apabila mula dilaksanakan tahun 2003. PAS boleh mendabik dada terhadap rakyat yang khianat adalah pemimpin Umno bukan PAS.

Ini bukan bererti PAS menentang bahasa Inggeris sebagai bahasa yang perlu dipelajari tetapi PAS lawan kerana mereka mendakwa jika hendak pandai berbahasa Inggeris pelajar perlu belajar melalui Matematik dan Sains.

PAS serius dalam menangani isu ini sebagai contoh PAS telah memberi bantuan guaman apabila tiga pelajar daripada Perak bertindak menyaman kerajaan.

Penggunaan BI sepenuhnya dalam mata pelajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris ditarik balik kerana mereka bimbang dengan pengundi Cina yang menentang pelaksanaan itu terutama persatuan pendidik Cina yang begitu sensitif dan konsistan menentang dan memperjuangkan bahasa ibunda mereka.

Parti Gerakan pun apa kurang, mereka juga lantang menentang isu ini. Disebabkan ketakutan mereka terhadap pengundi Cina maka kerajaan sanggup menarik balik projek tersebut.

Berjuta-juta ringgit wang rakyat musnah disebabkan projek tersebut, yang kaya hanyalah kroni pemimpin Umno, manakala yang derita adalah rakyat biasa. Ayuh rakyat jangan kena tipu lagi pada pilihan raya umum nanti. รข€“ lanh

0 comments: