Majlis Peguam diberi ingatan -- Abdullah mahu badan itu tidak gugat kepentingan negara

KUALA LUMPUR 29 Okt. – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, Majlis Peguam Malaysia dalam membuat satu pendirian, mestilah bagi kepentingan negara dan bukan hanya bagi sebarang kumpulan pendesak atau sesetengah anggotanya.

“Sebagai contoh, apabila Majlis Peguam secara rasmi menyokong penghakiman yang dipertikaikan atau mengemukakan pandangannya bahawa Malaysia adalah sebuah negara sekular, Majlis Peguam mestilah mengambil kira dengan tidak mewakili pandangan sesetengah kelompok masyarakat saja,” kata Perdana Menteri dalam ucaptamanya pada Persidangan Undang-Undang Malaysia Ke-14 di sini, malam ini.

Beliau berkata, sebarang salah perhitungan dalam perkara ini boleh menimbulkan jurang antara kumpulan berlainan di negara ini.

“Ini membuka Majlis Peguam itu kepada tuduhan yang boleh menyebabkan kemudaratan yang besar, bukan hanya kepada Majlis Peguam sebagai sebuah badan profesional, tetapi juga kepada negara,” kata beliau.

Abdullah berkata, sebagai sebuah badan di mana pandangan sangat dihormati bukan hanya dalam tempatan tetapi juga antarabangsa, Majlis Peguam mestilah mengiktiraf akibat tindakannya itu.

“Berkaitan dengan perarakan anggota Majlis Peguam di Putrajaya, saya mengambil pandangan satu demonstrasi awam bukanlah sepertimana acara sosial awam yang lain.

“Demonstrasi memberikan anggapan bahawa satu masalah telah sampai kepada satu kebuntuan yang tidak dapat dielakkan, walaupun, dalam realiti, ia bukanlah keadaan sebenar,” kata beliau.

Abdullah berkata, ia juga menghantar suasana negatif yang tidak formal kepada pelabur tempatan dan asing, melemahkan usaha sektor industri dan kerajaan dalam menarik pelaburan dan seterusnya mewujudkan dan menyediakan peluang ekonomi baru.

Masa depan negara bergantung kepada antara lain kestabilan politik dan keamanan sosial yang dipulihara sejak beberapa tahun, dan “pewujudan persepsi negatif, melalui tuduhan umum yang tidak berasas,” kata beliau.

Menurut Perdana Menteri, ‘persepsi yang merosakkan’ dalam persekitaran dunia yang kompetitif yang kian meningkat.

“Kita mesti sentiasa mengambil pandangan bahawa ketidak sefahaman boleh ditangani dalam banyak cara. Kerajaan bukan hanya sanggup, tetapi serius dalam menangani pandangan mereka dalam bidang perundangan, yang mana Majlis Peguam adalah sebahagiannya,” kata beliau.

Abdullah berkata, satu cara yang lebih konstruktif sedang dijalankan dengan ikhlas dan tanpa prasyarat, serta, tanpa syak wasangka antara satu sama lain.

Kerajaan mengambil perhatian pandangan yang dilahirkan oleh Majlis Peguam dengan seriusnya dan “seperti Majlis itu, kita percaya dalam kebebasan kehakiman dan berpegang teguh dengan keagungan Perlembagaan.”

Memperbaiki perkhidmatan kehakiman, pembasmian rasuah dan meningkatkan pencapaian sektor awam juga antara keutamaan nasional kerajaan, kata beliau.

Perdana Menteri berkata, beliau tidak menafikan terdapatnya ketidaksempurnaan dan cabaran yang negara hadapi, “sementara kita masih ada jalan, mereka dalam bidang ini janganlah bertindak secara tidak waras atau pesimistik mengenai kemajuan negara yang telah dicapai.”

Abdullah berkata, terdapat banyak peluang yang boleh diteroka bersama dan dengan satu tujuan yang sama, bukan hanya untuk pembangunan sosio politik di negara tetapi juga untuk memajukan lagi ekonomi negara.

Katanya, firma guaman hendaklah menjual perkhidmatan mereka pada peringkat antarabangsa, dan selaras dengan langkah kerajaan dalam mempromosikan pertumbuhan sumber baru, misalnya perkhidmatan kewangan Islam, mereka dalam bidang ini digalakkan untuk memajukan kepakaran perundangan.

Dengan berbuat demikian, mereka mampu mengambil peluang sama yang ditawarkan yang telah dilakukan oleh sektor profesional lain, kata beliau.

“Peluang perniagaan baru dan kemasukan penggerak global yang besar dan canggih dalam industri dan kawasan pertumbuhan yang dirancang, seperti Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) memerlukan firma perundangan kita yang mempunyai kapasiti dan kemampuan untuk memenuhi permintaan dan harapan yang meningkat,” kata beliau.

Abdullah juga mencadangkan bahawa Majlis Peguam yang mempunyai lebih 12,000 anggota dan sedang bertambah pada 10 hingga 12 peratus setahun, sepatutnya membantu anggotanya, terutamanya bagi firma kecil dan sederhana, untuk memajukan kemahiran perniagaan dan kepakaran perundangan, termasuk aplikasi antarabangsa bagi membolehkan mereka bersaing dengan firma tempatan besar yang telah membentuk satu pakatan dengan syarikat asing utama.

Beliau juga berkata, terdapat keperluan untuk strategi dan program bagi memastikan bahawa peguam Malaysia adalah lebih baik untuk memahami dan memenuhi permintaan yang lebih dan persekitaran perundangan global yang sentiasa berubah.

Turut hadir isteri Perdana Menteri, Datin Seri Jeanne Abdullah dan Presiden Majlis Peguam Malaysia, Ambiga Sreenevasan.

– Bernama

0 comments: