Lim Goh Tong selamat dikebumikan

GENTING HIGHLANDS 29 Okt. – Kira-kira 10,000 orang memberi penghormatan terakhir kepada pengasas Kumpulan Genting, Tan Sri Lim Goh Tong pada majlis pengkebumiannya, di sini hari ini.

Jumlah tersebut juga bermakna lebih 30,000 orang termasuk orang kenamaan tempatan dan luar negara telah memberi penghormatan kepada Goh Tong sejak beliau meninggal dunia pada 23 Oktober lepas.

Upacara pengkebumian pada hari ini menyaksikan 5,000 orang pelbagai kaum yang mewakili pertubuhan bukan kerajaan, badan keagamaan, persatuan kebajikan, parti politik, institusi pendidikan dan individu berarak kira-kira satu kilometer mengiringi mayat mendiang dari Gohtong Villa ke Gohtong Memorial Park.

Perarakan itu turut diiringi pukulan gendang Cina, kumpulan pancaragam, perarakan kumpulan sami, polis bantuan, tanglung putih dan sebuah tandu gergasi.

Sebaik selesai upacara perarakan, mayat mendiang disembahyangkan di tokong Chin Swee di sini tepat pukul 12 tengah hari sebelum dibawa untuk mengelilingi Taman Tema Genting.

Sementara itu, hujan renyai-renyai, cuaca sejuk dan keadaan kabus tebal tidak menghalang kira-kira 5,000 lagi kakitangan Genting Highlands berbaris untuk memberi penghormatan terakhir kepada Goh Tong ketika kereta mayat singgah di Hotel Genting.

Mayat Goh Tong seterusnya dikebumikan di Gohtong Memorial Park dalam satu upacara yang hanya dihadiri oleh saudara-mara terdekat.

Sepanjang upacara pengkebumian hari ini, anak-anak mendiang termasuk Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Genting, Tan Sri Lim Kok Thay memakai pakaian berwarna hitam beralaskan kain guni manakala cucu Goh Tong memakai pakaian berwarna biru serta berkasut warna putih sebagai tanda berkabung.

Goh Tong yang popular dengan gelaran Uncle Lim berasal dari Wilayah Anhui, China meninggal dunia pada usia 89 tahun di Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC) pada 23 Oktober lepas kerana sakit tua.

Mayat mendiang kemudiannya dibawa pulang ke kediamannya di Gohtong Jaya di sini untuk majlis penghormatan oleh ahli keluarga dan sahabatnya sebelum dikebumikan di tanah perkuburan persendirian di Gohtong Memorial Park hari ini.

Mendiang meninggalkan seorang balu, Puan Sri Lee Kim Hua, enam orang anak dan 19 cucu.

Sejak mayat mendiang dibawa balik ke Goh Tong Villa, hartawan yang terkenal dengan perniagaan pusat perjudian dan Star Cruises itu telah diberi penghormatan oleh tetamu-tetamu kehormat termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Tun Dr. Mahathir, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali.

Selain itu, mendiang juga menerima penghormatan akhir daripada menteri-menteri Kabinet, tokoh-tokoh politik dan perniagaan serta pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan.

Luar biasanya, majlis penghormatan yang dijalankan sejak 24 Oktober lalu menyaksikan kira-kira 2,000 kalungan bunga disampaikan kepada keluarga mendiang oleh rakan-rakan korporat Kumpulan Genting dan orang kenamaan termasuk dari pusat-pusat perjudian di Macau dan Las Vegas.

0 comments: