Parlimen : Salahuddin desak pingat kepada KP BPR ditahan

Wan Nordin Wan Yaacob
Tue | Oct 30, 07 | 2:10:59 pm MYT

KUALA LUMPUR, 30 Okt (Hrkh) - Ketua Whip PAS di Parlimen, Salahuddin Ayob (PAS Kubang Kerian) mendesak pihak terbabit menarik dan menahan pingat (SPDK) yang akan dianugerah Yang diPertua Negeri Sabah kepada Ketua Pengarah Badan Pencegah Rasuah (BPR), Dato' Mohd Said Hamdan yang akan membawa gelaran Dato' Seri Panglima.

Desakan itu dibuat Salahuddin kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Nazri Aziz ketika sesi perbahasan di Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Salahuddin, tindakan itu perlu kerana lahirnya kebimbangan BPR tidak akan menyiasat laporan-laporan yang dibuat ke atas salah laku Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman baru-baru ini.

"Kita juga mahu Ketua Pengarah BPR sendiri dengan rasa rendah diri menolak sementara pingat itu memandangkan ianya boleh menjejaskan siasatan.Kita bimbang penganugerahan ini hanyalah satu lagi rasuah kepada pihak berkuasa untuk menutup siasatan yang dijalankan,"kata Salahuddin yang juga Ketua Pemuda PAS.

Sementara itu semasa ditemui di luar Parlimen, Salahuddin menegaskan bahawa tidak wajarnya Ketua Pengarah BPR ini menerima pingat itu dan sepatutnya atas nama integriti Mohd Said menolak pingat itu sementara kes selesai.

"Pingat ini (SPDK) adalah pingat tertinggi bagi negeri Sabah. Pada kebiasaannya penganugerahan ini akan dicadang oleh Ketua Menteri atau MB," tegasnya.

Jadi katanya dalam kes ini amat malang jika berlakunya amalan rasuah dengan hasrat untuk menutup laporan kes terhadap Musa Aman sendiri.

"Persepsi awam melihat ini rasuah berprofile tinggi, adakah dengan penganugerahan ini Ketua Pengarah BPR tak dapat bertindak adil dalam kes Musa Aman," ujarnya.

Bagi Salahuddin, Mohd Said seharusnya buat sementara waktu ini tidak menerima supaya dilihat adanya integriti.

Mohd Said boleh menerima pingat itu dalam waktu sesuai selepas semua kes ini dapat diselesaikan, ujarnya.

Dalam hal ini rakyat hilang kepercayaan kepada BPR dan menyentuh kepada kenyataan nazri bahawa pingat tersebut dianugerah kerana khidmat Said di Sabah bukanlah alasan kukuh.

Sebaliknya Said perlu meletakkan soal integriti dalam apa sahaja khidmat yang dilakukan bagi menjamin ketelusan dalam khidmatnya, kata Salahuddin.

0 comments: