Pasangan kes tembak polis diburu

KUALA LUMPUR: Polis sedang mengesan pasangan suami isteri, dipercayai penyewa rumah di Taman Suria, Sungai Buloh, tempat berlaku serang hendap yang mengorbankan dua anggota polis, manakala dua lagi cedera parah, Khamis lalu.

Sumber memberitahu Berita Harian, identiti pasangan itu yang melarikan diri bersama dua anak mereka, sudah dikenal pasti berdasarkan penemuan beberapa dokumen dan gambar di rumah berkenaan.

Katanya, siasatan terperinci sedang dijalankan bagi mengenal pasti hubungan mereka dengan lima suspek, termasuk seorang daripadanya bergari, yang masih bebas selepas melakukan serang hendap itu.


“Kita sedang siasat sama ada pasangan itu sebahagian daripada kumpulan penjenayah yang diburu, atau cuma bersubahat menjadikan rumah sewa mereka sebagai pusat pembungkusan dadah,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Khamis lalu, dua anggota polis terbunuh, manakala dua pegawai mereka cedera parah selepas diserang hendap ketika menyerbu sebuah rumah di taman itu dipercayai dijadikan pusat pembungkusan dadah.

Dalam kejadian jam 8.15 itu, Lans Koperal Jaya Balan Krishnan mati di tempat kejadian, selepas terkena empat tembakan, manakala Lans Koperal Alageson Malappan mati dalam perjalanan ke hospital.


Dua pegawai yang cedera parah dikenali sebagai Cif Inspektor Helmi Zakaria dan Cif Inspektor Rajakumar Laju.

Sumber memberitahu, sekurang-kurangnya 17 das tembakan dilepaskan penjenayah dalam serang hendap itu, dengan kebanyakannya dilepaskan dari jarak dekat ke arah empat anggota polis berkenaan.

“Berdasarkan maklumat saksi kejadian, 17 tembakan dilepaskan oleh penjenayah, dipercayai menggunakan sekurang-kurangnya dua pistol jenis separuh automatik. Ini juga berdasarkan kecederaan teruk dialami semua anggota kita, terutama mereka yang terbunuh.

“Beberapa peluru hidup dan kelongsong peluru juga ditemui di tempat kejadian, malah siasatan awal menunjukkan ia dari jenis .38,” katanya.

Beliau berkata, pemeriksaan terhadap kereta Nissan Sentra yang ditemui ditinggalkan di Bercham, Ipoh, kelmarin mendapati ia tidak pernah digunakan dalam sebarang aktiviti jenayah, malah tiada laporan kereta itu dicuri.

“Belum pasti sama ada kereta itu digunakan suspek untuk melarikan diri tempoh hari. Kita sedang siasat sama ada ia milik suspek atau individu lain... kita sedang semak rekod hak milik kereta itu dengan agensi berkaitan.

“Polis sedang menyiasat sama ada kereta itu digunakan perompak untuk melarikan diri tempoh hari. Kita belum pasti sama ada ia milik suspek atau individu lain, malah rekod hak milik kereta itu disemak,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Selangor, Senior Asisten Komisioner I Mohmad Salleh, ketika ditemui berkata, dua anggota yang cedera parah itu dilaporkan kritikal dan masih tidak sedarkan diri.

0 comments: