Pusat kurang tunggakan air negeri

JOHOR BAHRU: Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang yakin pengambilalihan pengurusan bekalan air oleh kerajaan Pusat daripada semua negeri tidak lama lagi akan mengurangkan beban hutang tertunggak kerajaan negeri.

Beliau berkata, dalam laporannya yang dikeluarkan September lalu, kebanyakan kerajaan negeri mempunyai masalah hutang tertunggak dengan kerajaan Pusat disebabkan pinjaman untuk pengurusan bekalan air selain projek perumahan rakyat.

“Apabila kerajaan Pusat mengambil alih pengurusan bekalan air semua negeri dalam tempoh terdekat ini, secara relatifnya hutang tertunggak itu akan berkurangan dan semua kerajaan negeri akan dapat menyusun semua kedudukan kewangan masing-masing,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis perasmian Hari Audit SeMalaysia 2007 oleh Speaker Dewan Undangan Negeri Johor, Datuk Mohd Ali Hassan, di sini, semalam.


Dalam laporan Ketua Audit Negara September lalu, hutang tertunggak kerajaan negeri kepada kerajaan Pusat meningkat RM290.86 juta atau 10.9 peratus kepada RM2.96 bilion sehingga akhir tahun lalu.

Daripada jumlah itu, 90.5 peratus atau RM2.68 bilion adalah tunggakan pinjaman Johor, Kedah, Negeri Sembilan, Pahang, Selangor dan Terengganu.

Mengenai tindakan undang-undang yang diambil Badan Pencegah Rasuah (BPR) kepada pegawai dan kakitangan awam yang melakukan penyelewengan berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara, Ambrin berkata, ia adalah sesuatu yang baik untuk masyarakat dan negara.


“Kami di Jabatan Audit Negara hanya melaksanakan tugas dan apabila ada berlaku kepincangan dan penyelewengan dalam setiap jabatan atau kementerian, kita akan dedahkan, terpulang kepada pihak bertanggungjawab untuk mengambil tindakan,” katanya.

Ditanya sama ada beliau berpuas hati dengan tindakan berkenaan, Ambrin berkata, pegawai dan kakitangan Jabatan Audit Negara hanya melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan.

Terdahulu dalam ucapannya, beliau berkata, pelaksanaan sistem Indeks Akauntabiliti (AI) tahun depan akan menggalakkan penambahbaikan yang berterusan dalam pengurusan kewangan kementerian, jabatan, agensi kerajaan sama ada pada peringkat pusat atau negeri.

"Objektif AI untuk menggalakkan penambahbaikan dan memberi perangsang kepada setiap jabatan dan agensi kerajaan supaya meningkatkan kemahiran pengurusan kewangan," katanya.

0 comments: