Hakim diminta waspada periksa bahan letupan

Oleh Ahmad Johari Mohd Ali dan Norhashimah Mohd Radzali

SHAH ALAM: Selaras sub mesingan jenis MP5 yang dipasang penyerap bunyi dan sebahagian bahan letupan adalah antara 70 bahan bukti dalam kes pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu, yang dikemukakan pihak pendakwaan di Mahkamah Tinggi di sini, semalam.

Semua bahan bukti itu dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya, Noorin Badaruddin, ketika menyoal Ketua Unit Senjata Api dan Kesan Alatan Seksyen Jenayah, Bahagian Forensik Jabatan Kimia Malaysia, Petaling Jaya, Shaari Desa, 40, pada sesi pemeriksaan utama.

Bahan bukti lain turut dikemukakan adalah kelongsong peluru, kelopak kosong, 20 peluru hidup 9 milimeter (mm), helaian rambut, cebisan tulang manusia, cebisan tanah, plastik dan keratan getah tayar kenderaan, putik kapas, ketulan lembut berwarna merah jambu serta peralatan menghasilkan letupan seperti wayar, pembalut wayar, dawai dan getah.


Ketika Hakim, Datuk Mohd Zaki Md Yassin, memeriksa sebahagian bahan letupan itu bagi prosedur penandaan di mahkamah, Noorin meminta beliau berhati-hati dalam mengendalikan bahan berkenaan kerana ia berbahaya dan sensitif.

“Jangan sentuh dengan jari tangan dan kalau boleh jangan bagi jatuh serta jangan hentak sikit pun Yang Arif. Saya sendiri dinasihatkan saksi supaya berhati-hati dengan bahan berkenaan,” katanya.

Shaari menjelaskan bahan itu sensitif kerana apabila terhentak dan jika berada dalam keadaan yang panas serta hampir dengan telefon bimbit, ia boleh meletup.


Saksi ke-40 pendakwaan itu berkata, tiga bekas plastik yang diisi dalam sampul berasingan, mengandungi bahan letupan terdiri daripada bahan letupan Detonator Cord (tali pintal peledak), Cutting Liner Charge (CLC), detonator (peledak).

“Dalam sampul pertama yang ditanda Z21, ada bekas plastik mengandungi keratan besi bersegi dan berongga, dalamnya ada serbuk putih (CLC). Dalam sampul kedua ditanda Z22 pula, ada bekas plastik mengandungi Detonator Cord di dalamnya juga mengandungi serbuk putih.

“Ini bahaya dan sensitif kerana dalam sampul ketiga ditanda Z23, ada bekas plastik mengandungi detonator elektrik yang disambung bersama-sama dua wayar putih,” katanya.

Shaari yang sebelum ini bercuti sakit, kembali menyambung keterangan di mahkamah, semalam.

Disoal Noorin, Shaari berkata, semua bahan bukti yang terkandung dalam 69 sampul surat dan satu beg plastik itu, ditanda dengan pelekat Jabatan Kimia Malaysia serta mempunyai tandatangan beliau dan pegawai penyiasat kes, Asisten Superintendan Tonny anak Lunggan.

Shaari berkata, 68 sampul dan satu beg plastik itu dimeterai Polis Diraja Malaysia (PDRM), manakala hanya satu sampul bertanda Z40 berisi paket plastik mengandungi cebisan plastik beralur berwarna hijau gelap tidak mempunyai meterai PDRM.

“Walaupun tidak dimeterai, semua bahan bukti yang terkandung di dalamnya berada dalam keadaan baik dan sempurna ketika saya menerimanya. Sampul itu bertutup dan digam seperti biasa,” katanya.

Shaari berkata, beliau menyimpan semua bahan bukti itu di dalam kabinet besi yang berkunci di dalam bilik kebal Seksyen Jenayah, Bahagian Forensik, Jabatan Kimia Malaysia, Petaling Jaya, sebaik menerima daripada Tonny.

Menjawab soalan Noorin, Shaari berkata hanya beliau yang memiliki kunci kabinet besi itu, manakala kunci bilik kebal pula disimpan Ketua Seksyen Jenayah, Rosnah Harun.

Shaari berkata, beliau juga ada memberikan sebahagian sampel rambut dalam sampul bertanda Z11 kepada saksi ke-39 yang juga ahli kimia, J K Primulapathi pada 24 November 2006.

“Saya serahkan atas permohonan Primulapathi sendiri kerana beliau ingin menggunakannya untuk membuat ujian di makmalnya,” katanya.

Sementara itu, sebelum prosiding berakhir pada petang, Noorin cuba mendapatkan kepastian daripada mahkamah di manakah tempat yang sesuai menyimpan semua bahan bukti berkenaan kerana sebahagiannya sensitif dan boleh mengakibatkan letupan.

Mohd Zaki: Kita tanya saksi (Shaari), di manakah tempat yang paling selamat untuk menyimpan semua bahan bukti ini? Mahkamah tiada bilik kebal seperti di Jabatan Kimia.

Shaari: Tiada jaminan untuk menyatakan tempat yang paling selamat. Bagaimanapun, sepanjang saya mengendalikan semua bahan bukti ini, tiada apa-apa masalah.

Mohd Zaki: Semua bahan bukti ini sudah ditandakan dan menjadi barang kes di mahkamah, jadi ia perlu disimpan di mahkamah juga.

Perbicaraan kes bersambung 5 Oktober ini.

0 comments: