Ramai belum tahu tarikh mengundi

BANGKOK: Hampir 40 peratus responden dalam satu kajian yang dijalankan Abac Poll mendapati mereka masih tidak tahu bahawa pilihan raya umum dijadualkan pada 23 Disember ini, lapor The Bangkok Post, semalam.

Kajian pendapat yang dijalankan di kalangan 2,993 penduduk di Bangkok dan kawasan sekitar menunjukkan hanya 60.3 peratus daripada mereka mengetahui bahawa pilihan raya akan diadakan pada tarikh berkenaan manakala 39.7 yang lain mengatakan tidak tahu.

Sementara itu, lebih separuh daripada responden atau 54.3 peratus berkata bahawa mereka sudah bersedia mempunyai parti pilihan dalam pemikiran mereka.


Kajian itu juga menunjukkan bahawa 53 peratus daripada mereka tidak bersetuju dengan apa yang dikatakan sebagai pentadbiran kuku besi Suruhanjaya Pilihan Raya yang melarang calon melancarkan kempen parti secara umum serta beberapa sekatan lain.

Mereka berkata, peraturan berkenaan akan menghalang pengundi daripada mengetahui dasar setiap parti yang bertanding dalam pilihan raya terbabit.

Bagaimanapun, 47 peratus yang lain berkata bahawa mereka percaya peraturan EC terbabit menyaksikan pertandingan adil antara parti besar dan parti kecil yang mungkin mempunyai perbelanjaan terhad bagi berkempen. – Agensi

Mengenai masa depan ekonomi negara selepas pilihan raya, 75.2 peratus responden berkata bahawa mereka tidak yakin bahawa ekonomi negara akan pulih selepas pilihan raya manakala kurang satu daripada empat atau 24.8 peratus mempunyai pandangan optimis. – Agensi

0 comments: