Schwarzenegger dakwa ganja bukan dadah

LONDON: Gabenor California, Arnold Schwarzenegger, berkata bahawa marijuana bukan sejenis dadah, lapor sebuah majalah British semalam, tetapi jurucakap beliau berkata, bahawa gabenor itu sebenarnya hanya bergurau.

Schwarzenegger memberitahu majalah GQ edisi British bahawa beliau tidak mengambil dadah, walaupun beliau sendiri bekas ahli bina badan, tetapi bekas bintang Hollywood itu mengakui menggunakan marijuana pada 1970-an dan dilihat merokok dalam satu dokumentari Pumping Iron pada 1977.

“Itu bukan dadah. Ia sejenis daun,” kata Schwarzenegger kepada GQ. “Dadah saya adalah ‘pumping iron’, percayalah,” katanya.


Setiausaha akhbar Schwarzenegger, Aaron McLear, berkata bahawa gabenor itu membuat kenyataan demikian dalam konteks berjenaka sambil menjelaskan orang yang menemubual ialah Piers Morgan, seorang daripada juri rancangan America’s Got Talent. Morgan adalah bekas editor akhbar British.

“Saya rasa adalah penting membuat kenyataan dalam konteks persekitaran di mana dia berada.”

“Sudah tentunya gabenor faham marijuana adalah dadah. Ia seperti ketika dia muncul dalam rancangan Leno atau Daily Show, jika anda mengambilnya di luar konteks ia mungkin mengejutkan, tetapi ia berada dalam konteks hiburan yang ringan,” katanya.

Dalam temu bual majalah itu bagi keluaran Disember, Schwarzenegger enggan mengkritik ahli politik yang tidak mahu menjawab soalan mengenai penggunaan dadah.

0 comments: