Nilai sebenar kebebasan akhbar menurut acuan Zam

Ahmad Tajdid
Sat | Oct 20, 07 | 10:48:12 am MYT

Menteri Penerangan, Datuk Zainuddin Maidin (Zam) merapu lagi. Kali ini beliau dilapor menggesa rakyat Malaysia dan Asia mengetepikan rating kebebasan akhbar oleh badan pemantau bebas media antarabangsa - Reporters Without Borders (RSF), yang meletakkan Malaysia di tangga ke-124 kebebasan akhbar dunia.

Tahun lalu, badan yang berpangkalan di Paris itu meletakkan Malaysia di tangga ke-92, menyaksikan Malaysia menggelongsor 32 anak tangga berbanding negara jiran Singapura yang memperbaiki kedudukan daripada tangga 146 pada 1996 ke tangga 141 tahun ini.

Negara terbaik yang menduduki ranking RSF adalah Iceland manakala Eritrea menduduki tangga tercorot daripada 169 negara. Apa yang menarik, Amerika Syarikat menduduki tangga ke-48 dalam ranking RSF jauh di belakang Norway (2), Sweden (7), Switzerland (11), New Zealand (15), Canada (18), Trinidad dan Tobago (19), Jerman (20) dan Britain (24). Amerika juga menerima tamparan apabila Nicaragua - negara musuhnya di Amerika Selatan, menduduki ranking ke-47 RSF, satu anak tangga di atas negara peneraju sistem demokrasi dunia itu.

Bagi rantau Asia, Taiwan muncul negara terbaik di tangga ke-32 diikuti Jepun (37), Korea Selatan (40), Hong Kong (61), Kuwait (63), UAE (65), Mongolia (74), Qatar (79) dan Lubnan (98).

Timor Leste muncul negara terbaik Asia Tenggara apabila menduduki tempat ke -95 ranking RSF diikuti Indonesia (100), Malaysia (124), Filipina (128), Thailand (135), Singapura (141), Laos (161) dan Vietnam (162). Burma yang diperintah junta tentera menduduki tangga ke-164.

Ranking terbaru negara yang diberikan RSF ini menjadi satu tamparan hebat kepada pentadbiran BN yang diterajui Abdullah Ahmad Badawi apatah lagi salah satu prinsip Islam Hadhari yang dipromosikan kerajaan BN adalah "rakyat berjiwa merdeka".

Bagi Zam RSF bukanlah 'hakim' bagi nilai-nilai tempatan. Rating yang diberikan badan pemantau itu, katanya lebih "berasaskan nilai kebebasan akhbar Barat yang umumnya didorong oleh pasaran dan wang".

Zam tidak pula menjelaskan apakah nilai-nilai tempatan kebebasan akhbar yang dianggapnya lebih 'supreme' berbanding piawaian kebebasan akhbar antarabangsa?

Bagaimanapun bagi mereka yang mengikuti secara dekat industri media massa negara, Zam bukanlah orang yang layak untuk bercakap tentang 'nilai' dan 'etika'.

Ketika menerajui Utusan Melayu, penyokong setia BN ini memperkenalkan satu teori 'sampah' menyentuh etika kewartawanan yang dinamakannya sebagai 'professional bias'. Teori mengelirukan ini diutarakan beliau di saat media massa arus perdana menghadapi krisis kebolehpercayaan oleh sebahagian rakyat terutamanya apabila membabitkan laporan-laporan berhubung parti-parti lawan BN lwn elit penguasa negara.

Apa sebenarnya teori 'professional bias'? Secara mudahnya, teori itu membolehkan media massa yang dikuasai kerajaan bersikap bias atau memihak kepada kepentingan kerajaan dengan memberikan sedikit ruang kepada parti- parti pembangkang untuk menyuarakan pandangan mereka. Bagi Zam, tidak salah untuk media massa arus perdana mengambil sikap memihak kerana alasan-alasan tertentu antaranya untuk menjaga keharmonian dan kestabilan negara.

Bagaimanapun alasan bahawa media massa arus perdana mempunyai tanggung jawab untuk menjaga keamanan dan kestabilan negara lantas dibolehkan memihak kepada parti yang membentuk kerajaan sebenarnya mempunyai agenda tersirat. Teori ini sebenarnya bertujuan memberikan imej positif kepada BN dan mempalitkan imej negatif kepada parti-parti lawan BN dengan hanya satu tujuan - mengekalkan sokongan politik sebahagian besar rakyat kepada BN bagi memastikan BN terus kekal memerintah walaupun dibelenggu pelbagai masalah rasuah dan penyelewengan.

Ini dapat dilihat daripada nasib yang menimpa Presiden Parti Semangat 46, Tengku Razaleigh Hamzah pada kempen pilihan raya umum 1990. Razaleigh yang mengetuai dua gabungan parti pembangkang - Angkatan Perpaduan Ummah dan Gagasan Rakyat mengejutkan BN apabila berjaya menarik sokongan PBS - parti yang memerintah Sabah untuk menumbangkan BN. Beliau juga dilapor mendapat komitmen daripada beberapa parti politik Sarawak untuk membentuk kerajaan di peringkat pusat mengakibatkan BN berada dalam suasana kritikal bagi mengekalkan kuasa.

Dengan bantuan media massa arus perdana, suatu perancangan dibuat bagi menghancurkan imej Razaleigh sebagai pemimpin Melayu Islam khususnya di kalangan para pengundi Melayu Bumiputera di Semenanjung. Isu 'tengkolok Kadazan' berlambang salib yang dipakai Razaleigh dalam satu majlis anjuran PBS dimainkan media massa arus perdana. Razaleigh digambarkan sebagai individu yang sanggup menggadaikan akidah semata-mata untuk mencapai cita- cita politik.

Kempen berunsur 'character assasination' itu akhirnya berjaya menjatuhkan imej Razaleigh di mata umum. Hanya negeri kelahiran beliau, Kelantan sahaja yang terselamat daripada kempen tidak beretika media massa pro-BN menyebabkan calon-calon Angkatan dan Gagasan Rakyat tewas di hampir keseluruhan kerusi yang dipertandingkan di luar Kelantan.

Jika alasan kestabilan dan keharmonian negara dijadikan alasan untuk media massa pro-BN bersikap memihak, insiden yang berlaku dalam pilihan raya umum 1990 ini menyerlahkan sikap jelek pengamal media negara. Meskipun isu tengkolok Kadazan itu benar-benar menyentuh sensitiviti agama, bangsa dan keselamatan negara, tiada sebarang tindakan dikenakan kerajaan khususnya Kementerian Dalam Negeri terhadap peneraju media massa pro-BN. Kempen itu juga adalah satu pembohongan dan fitnah terbuka kepada peribadi Razaleigh memandangkan tenggolok yang sama pernah dipakai Presiden Umno dan juga PM, Datuk Seri Mahathir Mohamad ketika melawat Sabah.

Pastinya Zam masih mengingati insiden hitam yang melacurkan etika kewartawanan itu kerana masih menerajui Utusan Melayu di saat tersebut.

Pun begitu, insiden tengkolok Kadazan bukanlah penyudah kepada sikap tidak beretika media massa pro-BN, lihat sahajalah apa yang berlaku dalam isu kerugian Bank Negara hasil pembabitannya dalam urus niaga mata wang asing dan pelbagai skandal membabitkan pemimpin negara. Antara paling menonjol adalah isu pemecatan, penahanan dan pembantaian mantan TPM, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menjejaskan kredibiliti dan maruah media massa arus perdana di mata sebahagian besar rakyat.

Semua insiden ini sebenarnya berada dalam pengetahuan Zam. Sayangnya beliau bukan sahaja tidak mempunyai kekuatan untuk memperbaikinya, malah bersekongkol sepenuh hati untuk mempertahankan 'nilai-nilai tempatan' itu walau bagaimana burukpun kesudahannya.

Lihat sahajalah apa yang dilakukan beliau ketika menerajui Kementerian Penerangan. RTM yang dibiayai operasinya dengan wang rakyat berubah menjadi pusat propaganda politik BN. Zam sendiri gagal membezakan antara program Umno, BN dan kerajaan. Malah Kelantan yang diterajui PAS tidak mendapat liputan yang adil daripada RTM walaupun mengikut skala teori 'professional bias' Zam.

Zam juga dilapor memuji cara bekas PM Singapura Lee Kuan Yew yang “melawan nilai kebebasan akhbar Barat” apabila menang dalam kes saman akhbar Financial Times (FT), London baru-baru ini.

FT dilapor memohon maaf kepada Lee dan anggota keluarganya, dan bersetuju membayar ganti rugi bagi dakwaan palsu dalam sebuah artikel yang menyinggung perasaan yang disiarkan dalam FT Weekend isu 29 Sept dan juga boleh didapati secara online.

Zam berkata: “Bagi saya, hanya satu bahasa difahami oleh media apabila mereka terpaksa mengeluarkan wang untuk membayar ganti rugi.”

Kenyataan beliau itu umpama menepuk air di dulang, terpercik di muka sendiri. Ketika menerajui Utusan Melayu, Zam pastinya boleh mengingati jumlah pampasan mencecah jutaan ringgit yang terpaksa dibayar akhbar-akhbar kelolaannya apabila menghadapi tindakan saman orang ramai. Antaranya bayaran gantirugi kepada Presiden dan Timbalan Presiden PAS yang ditohmah Zam dalam kolum Awang Selamat sebagai 'Nabi Fadzil' dan 'Nabi Abdul Hadi'.

Jika FT memohon maaf dan membayar ganti rugi kepada Lee, jarang sekali bagi Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia untuk memohon maaf kepada pihak yang difitnah dalam laporan atau tulisannya walaupun terpaksa membayar ganti rugi - satu lagi sikap jelek media massa utama negara yang tidak tergamak diikuti rakan mereka di negara lain.

Kesimpulannya, Zam bukanlah individu yang layak bercakap tentang nilai, etika dan kredibiliti akhbar/media massa. Jika Zam menyelar media Barat sebagai "mementingkan wang daripada kebebasan akhbar", nilai-nilai media massa tempatan yang kononnya mahu dipertahankan Zam sebenarnya "lebih mementingkan survival politik BN daripada kebebasan akhbar".

Zam mahu menjadikan Lee Kuan Yew sebagai icon pejuang kebebasan media 'acuan tempatan'. Tetapi malangnya, Lee seperti juga Zam adalah contoh buruk kebebasan akhbar rantau ini yang akan dijadikan sempadan generasi akan datang.

0 comments: