BPR hampir selesai siasat kes seleweng beli peralatan

PUTRAJAYA 19 Okt. – Siasatan Badan Pencegah Rasuah (BPR) terhadap beberapa pegawai kanan kerajaan yang didakwa terlibat dalam penyelewengan pembelian peralatan dan kelengkapan yang didedahkan dalam laporan Ketua Audit Negara baru-baru ini hampir selesai.

Keterangan beberapa pegawai dari dua kementerian yang didakwa membeli barangan pada kadar melebihi harga pasaran sehingga kerajaan terpaksa menanggung kerugian berjuta-juta ringgit telah pun direkodkan.

Difahamkan, BPR telah menyoal siasat pegawai-pegawai terbabit sebelum cuti Hari Raya Aidilfitri minggu lalu dan tindakan tegas termasuk dihadapkan ke mahkamah dijangka akan dikenakan ke atas mereka.

Ketua Pengarah BPR, Datuk Ahmad Said Hamdan ketika dihubungi mengesahkan perkara itu.

“Siasatan kes ini hampir selesai dan BPR akan mengambil tindakan terhadap beberapa pegawai terbabit,” katanya yang enggan mengulas lanjut.

Sementara, Utusan Malaysia difahamkan, siasatan BPR ke atas kes itu tertumpu kepada tiga aspek.

Salah satu darinya menjurus kepada kemungkinan pegawai kerajaan menerima rasuah daripada sektor swasta yang disiasat BPR di bawah Seksyen 11 (A) dan 11 (B) Akta Pencegahan Rasuah 1997.

Selain itu, BPR menyiasat jika terdapat bukti penglibatan pegawai terbabit dalam penyelewengan seperti membuat tuntutan palsu dan menipu jumlah bekalan berbanding pesanan peralatan yang dibuat.

Pada masa yang sama, BPR melalui pasukan khas yang ditubuhkan telah menjalankan siasatan terperinci berhubung latar belakang syarikat-syarikat pembekal barangan kepada kerajaan yang meletakkan harga terlalu tinggi.

0 comments: