Mayat mangsa terakhir tragedi feri ditemui

Oleh: KAMIL MASLIH

MERSING 19 Okt. – Penantian mangsa yang terselamat dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) nahas feri terbakar di Pulau Tioman Sabtu lalu berakhir dengan kekecewaan selepas penemuan korban terakhir, Choon Yoong Kim, 43, di perairan sekitar 11 batu nautika dari selatan pulau berkenaan.

Mangsa yang merupakan korban ketujuh dalam tragedi itu ditemui pada pukul 12.05 tengah hari oleh unit udara Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang menaiki pesawat Cessna.

Ketua Koordinasi Operasi Menyelamat, Kapten Maritim Tan Kok Kwee berkata, sebaik sahaja mendapat maklumat berkenaan, pihaknya menghantar bot Polis Marin PX8 ke lokasi mayat ditemui terapung.

“Mayat mangsa yang memakai seluar pendek berwarna coklat dan berada dalam keadaan reput itu ditemui terapung di lokasi 11 batu nautika dari arah selatan Pulau Tioman.

“Oleh kerana masalah cuaca yang buruk, mangsa hanya dapat tiba di Jeti Mersing pada pukul 5 petang ini,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Mangsa yang berasal dari Petaling Jaya merupakan abang ipar kepada korban yang ditemui dalam operasi SAR kelmarin iaitu Wong Soong Leng, 37.

Tragedi Feri Seagulll Express 2 yang terbakar dan karam di perairan kira-kira tujuh batu nautika daripada Pulau Tioman Sabtu lalu telah mengakibatkan 103 penumpang dan tiga krewnya terpaksa terjun ke laut menyelamatkan diri tanpa jaket keselamatan yang mencukupi.

Nahas tersebut mencatatkan tujuh kematian dengan lima mangsa lain adalah Wong Hann Wenn, 29, Hoo Lee Han, 67, Hong See Tiew, 51, Teh Siew Lian, 52, dan Tee Moi @ Haw Lee Maoi, 68.

Menurut Kok Kwee, mayat mangsa ditemui di kawasan tujuh batu nautika daripada tempat kejadian feri berkenaan terbakar dengan ia turut berhampiran lokasi penemuan mayat keenam, Hann Wenn semalam.

Jelasnya, mayat tersebut dibawa ke Rumah Mayat Hospital Mersing telah dikenal pasti identiti oleh ahli keluarganya.

Beliau memberitahu, dengan penemuan mangsa terakhir itu, pihaknya menamatkan operasi SAR itu pada pukul 6.45 petang ini selepas ia dijalankan selama tujuh hari bermula Sabtu lalu.

Jelas beliau, operasi yang disertai 120 anggota itu melibatkan pelbagai agensi termasuk APMM, Polis Marin, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Jabatan Pertahanan Awam.

0 comments: