Tiada dokumen: Wanita telan kad SIM dipenjara 7 bulan


FITRIANI JUNAIDI.

KUALA LUMPUR 19 Okt. - Wanita warga Indonesia yang menelan kad SIM (Modul Pengenalan Pelanggan) setelah ditahan polis bagi membantu siasatan kes bunuh Nurin Jazlin Jazimin, dihukum penjara tujuh bulan atas kesalahan memasuki negara ini tanpa sebarang dokumen sah.

Mahkamah Imigresen yang bersidang di Semenyih, Selangor hari ini menjatuhkan hukuman itu selepas Fitriani Junaidi (gambar), 23, mengaku bersalah atas tuduhan tersebut.

Hakim Ruzina Ayob memerintahkan hukuman dijalankan berkuat kuasa mulai tarikh Fitriani diserahkan kepada Jabatan Imigresen pada 11 Oktober lalu.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan kesalahan itu kira-kira pukul 2.40 petang, 11 Oktober lalu di Bahagian Penguat Kuasa Jabatan Imigresen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Aras 5, Blok I, Pusat Bandar Damansara, Jalan Damansara, Kuala Lumpur.

Dia didakwa di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63(Pindaan 2002) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 6(3) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM10,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya dan boleh dikenakan sebatan jika sabit kesalahan.

Fitriani sebelum ini ditahan polis bagi membantu siasatan dalam kes bunuh Nurin Jazlin, 8, dan ketika dibawa ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada 29 September lalu untuk mendapatkan perintah tahanan reman, dia telah bertindak menelan kad SIM.

Kad SIM itu hanya dapat dikeluarkan enam hari kemudian.

Dia bagaimanapun dibebaskan tanpa syarat pada 10 Oktober lalu selepas polis tidak mempunyai bukti kukuh untuk mendakwanya di mahkamah.

Nurin Jazlin dilaporkan hilang di Wangsa Maju pada 20 Ogos lalu sebelum mayatnya ditemui 27 hari kemudian di Petaling Jaya. Dia dipercayai mati akibat deraan seksual.

Berdasarkan fakta kes yang dikemukakan oleh Ketua Unit Pendakwaan Jabatan Imigresen, B. Kasthuri Bai di mahkamah hari ini, jabatan tersebut mendakwa menerima Fitriani daripada Balai Polis Dang Wangi sebagai tindakan membanteras pendatang tanpa izin.

Ini ekoran daripada penahanan tertuduh bersangkut laporan polis Nilai, Negeri Sembilan bertarikh 29 September lalu.

Siasatan yang dijalankan mendapati wanita itu mendakwa memasuki negara ini dengan menggunakan nama Yarustika melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 3 Ogos 2005 untuk bekerja sebagai pembantu rumah.

Dia ditahan oleh polis di ruang Thai Bazaar, Giant Superstore di Nilai. Semasa ditahan, wanita itu hanya menyerahkan pas penduduk Indonesia, beberapa kad SIM dan wang tunai RM477.

Ketika dibenarkan mengemukakan rayuan bagi mengurangkan hukuman, Fitriani hanya mengaku bersalah dan memohon supaya diringankan hukuman.

Kasthuri Bai pula memberitahu siasatan menunjukkan tiada rekod ketibaan tertuduh di negara ini dan ia tidak dapat menentukan berapa lama tertuduh berada di negara ini secara tidak sah.

Tertuduh juga, katanya, tidak pernah membayar levi atau cukai sejak bekerja di negara ini.

Beliau juga memohon hukuman setimpal memandangkan masalah pekerja asing dan gejala sosial seperti yang sering dipaparkan oleh media massa kini berleluasa.

0 comments: