2 angkasawan ditauliah Cosmonaut

Oleh Sariha Mohd Ali

ROMPIN: Angkasawan pertama Malaysia, Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha yang dijadual pulang ke bumi esok, bakal ditauliah sebagai 'Cosmonaut' bersama-sama Kapten Dr Faiz Khaleed, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Jamaluddin Jarjis.

Beliau berkata, pentauliahan itu akan dilakukan oleh Russia kira-kira dua minggu selepas kepulangan Dr Sheikh Muszaphar ke bumi kerana angkasawan negara itu perlu menjalani kuarantin selama seminggu di Moscow sebelum pulang ke Malaysia.

Dengan pengiktirafan itu, diharap tidak akan timbul lagi sindiran daripada pihak tertentu yang mempersoalkan kredibiliti angkasawan negara, termasuk memanggilnya sebagai pelancong angkasa, katanya kepada pemberita selepas mengadakan rumah terbuka Aidilfitri di sini, malam kelmarin.


Beliau berkata, pada masa akan datang, kementeriannya akan turut menjalin kerjasama dari segi latihan dan kepakaran dengan Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) Amerika Syarikat supaya isu pengiktirafan berkenaan tidak lagi dibangkitkan.

Selain itu, katanya, beliau akan mengadakan perbincangan dengan NASA pada November ini bagi membenarkan Dr Faiz menjalani latihan bersama agensi angkasa itu.

Setakat ini, NASA memberikan kerjasama erat terutama dari segi komunikasi yang membolehkan rakyat Malaysia mengikuti perkembangan Dr Sheikh Muszaphar di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS), katanya.


Sementara itu, Jamaluddin berkata, program angkasawan negara memberikan impak besar dengan kewujudan �demam angkasa� di kalangan rakyat terutama generasi muda.

Beliau berkata, program berkenaan dilihat mampu membawa anjakan minda generasi muda untuk meminati Sains dan Matematik.

Sehubungan itu, beliau berkata, kementerian bercadang mewujudkan Bahagian Angkasa bagi meneruskan kesinambungan program angkasawan negara dan ia akan dibawa ke Kabinet untuk dibincangkan.

Selain itu, katanya, pihaknya juga bercadang mengambil Dr Sheikh Muszaphar dan Dr Faiz selain Pengarah Program Angkasawan Negara, Kolonel Dr Zulkeffeli Mat Jusoh untuk menyertai bahagian itu.

"Tetapi kita kena bincang dengan mereka dulu dan juga dengan pihak majikan mereka sekarang," katanya.

Dr Sheikh Muszaphar akan disambut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Dr Faiz di Moscow. Dr Sheikh Muszaphar akan dibawa pulang ke Malaysia pada 30 atau 31 Oktober ini selepas seminggu dikuarantin di Moscow bagi memastikan tahap kesihatannya pulih seperti biasa.

Jamaluddin berlepas ke Moscow pagi semalam, manakala Najib akan tiba ke negara itu hari ini.

Ketibaan Dr Sheikh Muszaphar dan Dr Faiz di Kuala Lumpur hujung bulan ini akan disambut Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Sebelum kembali ke Malaysia, dua angkasawan terbabit mengadakan perjumpaan dengan rakyat Malaysia khasnya pelajar di Moscow dan London

0 comments: