Kedudukan Ahmad Fairuz jadi tanda tanya

Oleh: NORLIZAH ABAS

KUALA LUMPUR 19 Okt. – Kedudukan Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim sebagai Ketua Hakim Negara yang akan bersara wajib pada 31 Oktober ini masih menjadi tanda tanya.

Ahmad Fairuz, 65, yang juga Hakim Mahkamah Persekutuan, sekarang sedang bercuti untuk menghabiskan baki cuti tahunannya sebanyak 100 hari dan beliau dijangka memulakan tugasnya Isnin ini.

Teka-teki mengenai pengganti beliau mula timbul walaupun Utusan Malaysia difahamkan tiada arahan setakat ini supaya kamar beliau di Istana Kehakiman, Putrajaya dikosongkan.

Tempoh pemegangan jawatan dan persaraan Ketua Hakim Negara termaktub di bawah Perkara 125(1) Perlembagaan Persekutuan.

Seseorang Hakim Mahkamah Persekutuan hendaklah memegang jawatan sehingga mencapai umur 65 tahun atau sehingga satu masa yang diluluskan oleh Yang di-Pertuan Agong tetapi jangka masa itu tidak boleh melebihi tempoh enam bulan selepas mencapai umur tersebut.

Ini bermakna, Ketua Hakim Negara hanya mempunyai dua pilihan sama ada bersara wajib atau dilanjutkan tempoh perkhidmatannya selama enam bulan lagi.

Dalam jangka masa itu, beliau tidak akan mendengar perbicaraan mana-mana kes sebaliknya masa yang ada akan diisi untuk menyiapkan alasan penghakiman dan membereskan tugas-tugas pejabat yang belum selesai.

Ahmad Fairuz yang dilahirkan pada 1 November 1941 memulakan tugas dalam badan kehakiman sebagai Majistret pada 1 Jun 1967 di Pulau Pinang.

Dua tahun kemudian, beliau dilantik sebagai Presiden Mahkamah Sesyen, Kuantan, diikuti sebagai Timbalan Pendakwa Raya di Johor dan Kuala Lumpur beberapa tahun kemudian.

Beliau turut menimba pengalaman sebagai Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Penasihat Undang-Undang Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Penasihat Undang-Undang Negeri Kedah/Perlis dan Timbalan Penggubal Undang-Undang, Jabatan Peguam Negara.

Pada 1 Disember 1988, Ahmad Fairuz dilantik sebagai Pesuruhjaya Kehakiman diikuti sebagai Hakim Mahkamah Tinggi pada 1 Ogos 1990.

Lima tahun kemudian, beliau dilantik sebagai Hakim Mahkamah Rayuan, Hakim Mahkamah Persekutuan (1 September 2000), Hakim Besar Malaya (1 September 2001), Presiden Mahkamah Rayuan (1 Disember 2002) dan Ketua Hakim Negara (17 Mac 2003).

0 comments: