Karachi bermandi darah -- * 136 maut, 387 cedera * Benazir terselamat serangan bom


KEADAAN kelam-kabut dan mayat bergelimpangan di Jalan Karsaz, Karachi selepas pengebom berani mati melancarkan serangan yang mengorbankan sekurang-kurangnya 136 orang dan menyebabkan hampir 400 orang cedera.

KARACHI 19 Okt. – Serpihan mayat dan percikan darah memenuhi jalan raya di bandar raya ini apabila sekurang-kurangnya 136 orang terbunuh dalam dua serangan berani mati yang disasarkan ke atas bekas Perdana Menteri, Benazir Bhutto, awal pagi ini.

Kejadian itu berlaku kira-kira 10 jam selepas Benazir menjejakkan kaki ke tanah airnya setelah lapan tahun berada dalam buangan di London.

Serangan tersebut menjadikan majlis perarakan penuh emosi meraikan kepulangan pemimpin wanita itu bertukar kepada medan pembunuhan beramai-ramai.

Serangan di Karachi yang berlaku sejurus tengah malam (sekitar 3.30 pagi ini waktu Malaysia), turut menyebabkan lebih 300 orang cedera.

Ia juga nyaris meragut nyawa Benazir apabila salah satu letupan berlaku hanya kira-kira lima meter daripada kenderaan yang membawanya pada perarakan itu.

Bagaimanapun beliau terselamat tanpa mengalami sebarang kecederaan.

Tragedi itu bermula apabila seorang penyerang berani mati berjaya meletupkan bom walaupun perarakan itu dikawal ketat oleh polis.

Ketua Polis Karachi, Azhar Farooqi berkata, sebutir bom tangan dilontarkan ke arah orang ramai sebelum ia disusuli dengan serangan berani mati.

“Corak serangan menunjukkan ia sudah dirancang dengan teliti dan dilakukan oleh orang yang pakar dan bukannya oleh amatur.

“Bagaimanapun, Benazir selamat dan kini berada di kediaman keluarganya di sini,” kata Azhar.

Seorang pembantu kanan Benazir, Rehman Bhutto yang turut bersama-sama dengan bekas Perdana Menteri itu berkata, beliau sedang berehat dalam lori semasa letupan berlaku.

Ia merupakan serangan berani mati terburuk dalam sejarah Pakistan yang dibayangi oleh 17 serangan berani mati sejak 4 Julai lalu.

Serangan itu sekali gus menandakan harapan untuk Benazir kembali aktif dalam politik Pakistan bakal berhadapan pelbagai kemelut walaupun mendapat restu Presiden Pervez Musharraf.

Beliau sebelum ini tidak mengendahkan ancaman bunuh oleh pergerakan Taliban dan rangkaian Al-Qaeda dengan memilih untuk kembali ke Pakistan bagi menyertai pilihan raya Januari ini.

“Ia merupakan tindakan pengganas yang disasarkan ke atas Benazir dan bertujuan mensabotaj proses demokrasi,” kata Menteri Dalam Negeri Pakistan, Aftab Sherpao.

– Agensi

0 comments: