Kerajaan ulangi janji tidak naik harga minyak tahun ini

Oleh: AINUL ASNIERA AHSAN

KUALA LUMPUR 19 Okt. – Kerajaan tetap akan mengotakan janjinya tidak akan menaikkan harga minyak sehingga akhir tahun ini, walaupun harga bahan api itu kini mencecah paras tertinggi iaitu AS$90 (RM302.4) setong hari ini.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Awang Adek Hussin, bagaimanapun meminta rakyat bersiap sedia menghadapi sebarang kenaikan harga minyak pada tahun depan, sekiranya harga komoditi itu terus melonjak di pasaran global.

“Kerajaan sudah berjanji tidak akan menaikkan harga minyak (sehingga akhir tahun), janji tetap janji.

“Lagipun saya berpendapat kenyataan yang dibuat oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shafie Apdal, baru-baru ini sudah jelas dan yakin rakyat memahaminya,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan persidangan Kewangan Islam di sini, hari ini.

Shafie baru-baru ini meminta rakyat bersedia menerima kenaikan harga minyak jika harga minyak mentah dunia terus kekal meningkat.

Menurut Shafie, kerajaan tidak mungkin mampu menanggung kos subsidi minyak jika harganya terus naik dari semasa ke semasa.

Beliau bagaimanapun berkata, kenaikan itu tidak mungkin berlaku dalam tempoh terdekat kerana kerajaan telah berjanji akan mengekalkan harga minyak pada tahun ini.

Menurut Shafie, bebanan kenaikan harga minyak sebenarnya tidak hanya ditanggung oleh rakyat yang tinggal di negara pengimport minyak tetapi juga mereka yang tinggal di negara-negara pengeluar minyak seperti Iran.

Agensi berita asing, AP hari ini melaporkan harga minyak mentah melepasi paras AS$90 setong, kenaikan tertinggi buat kali pertama seiring dengan kejatuhan dolar Amerika.

Harga minyak mentah ‘Light Sweet’ bagi penghantaran November meningkat kepada AS$90.02 (RM302.46) setong selepas dagangan elektronik di New York Mercantile Exchange (NYMEX) ditutup petang semalam.

Kadar itu merupakan paras tertinggi yang dicapai setakat ini, sejak komoditi tersebut mula didagangkan di NYMEX pada 1983.

AP turut melaporkan bahawa kebanyakan penganalisis berpendapat fundamental yang bersandarkan permintaan dan bekalan tidak menyokong harga minyak pada paras AS$90 setong.

Katanya, Jabatan Tenaga Amerika Syarikat melaporkan bekalan bagi minyak dan gasolin meningkat daripada jangkaan minggu lalu, berikutan spekulasi kononnya bekalan bagi bahan api itu semakin ketat.

Semalam, Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Minyak (OPEC) melahirkan kebimbangan terhadap kenaikan harga minyak mentah, dan memberi amaran mengenai ramalan global bahawa harga bahan itu akan mencecah AS$100 (RM336) setong lebih awal daripada yang dijangkakan.

OPEC berkata, badan itu kini memantau secara serius perkembangan dalam pasaran minyak dan menganggap kenaikan harga komoditi itu kini, sebahagian besarnya berpunca daripada spekulasi pasaran.

0 comments: