Kepala penyerang berani mati ditemui

KARACHI 19 Okt. - Pihak polis hari ini berjaya menemui bahagian kepala individu yang disyaki pengebom berani mati yang meletupkan diri di tengah orang ramai ketika perarakan awal pagi ini.

Ketua Penyiasat Polis Karachi, Manzoor Mughal berkata, pihaknya telah menemui kepala orang yang disyaki sebagai pengebom berani mati itu dan ujian DNA sedang dijalankan.

Biasanya, kepala pengebom berani mati akan melambung ke atas disebabkan impak bahan letupan yang dipakai di badan.

Ratusan ribu penduduk berkumpul untuk menyambut ketibaan Benazir yang menjejakkan kaki ke Pakistan buat kali pertama semalam, sejak hidup dalam buangan lapan tahun lalu bagi menjalani persediaan menghadapi pilihan raya Januari ini.

Dua letupan yang berturutan menggegarkan perarakan konvoi kereta yang membawa Benazir ketika ia bergerak di tengah lautan orang ramai.

Benazir yang dibawa dengan menggunakan lori yang diubah suai khas dengan alat kalis peluru serta tahan serangan bom, tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Letupan pertama berpunca daripada sebutir bom tangan sementara letupan kedua adalah pengeboman berani mati.

“Pengebom berani mati itu berlari ke arah orang ramai dan meletupkan dirinya,” jelas Manzoor.

Seorang jurukamera televisyen juga terbunuh manakala beberapa orang wartawan adalah antara 256 yang cedera.

Manzoor menjelaskan bahawa kemungkinan 15 hingga 20 kilogram bahan letupan digunakan dalam serangan itu.

Pihak polis juga telah membuat pengumuman untuk memberi ganjaran lima juta rupee (RM277,723) bagi sesiapa yang memberi maklumat sehingga membawa kepada penangkapan dalang serangan itu.

Rangkaian Al-Qaeda sebelum ini pernah mengancam untuk membunuh Benazir kerana sokongan beliau terhadap Presiden Pervez Musharraf yang bersekutu dengan Amerika Syarikat dalam perang global ke atas keganasan.

– Reuters

0 comments: