Kepulangan bawa tragedi - Serangan berani mati cemari perarakan sambut Benazir Bhutto


LORI yang diubah suai khas dengan peralatan kalis peluru untuk membawa Benazir Bhutto ini dijadikan sasaran serangan berani mati yang meragut nyawa 136 mangsa dan menyebabkan lebih 300 cedera di Karachi, semalam. Gambar kecil, orang ramai membantu seorang lelaki yang cedera parah dalam serangan berani mati di Jalan Karsaz, Karachi. – AP/AFP.

KARACHI 19 Okt. – Senario yang menyayat hati menjadi pembuka kepada sambutan kepulangan bekas Presiden, Benazir Bhutto ke bandar raya ini apabila serangan berani mati meragut sekurang- kurangnya 136 nyawa, awal pagi ini.

Jalan Karsaz yang menjadi lokasi serangan itu menyaksikan serpihan mayat, percikan darah dan rangka kereta yang hangus memenuhi jalan raya.

Seorang jurugambar AFP yang berada di tempat kejadian sewaktu serangan berkata, suasana ketika itu seperti berjalan di kawasan rumah penyembelihan dengan daging dan darah manusia memenuhi lantai.

“Ramai yang terbaring dalam keadaan tidak terusik tetapi ramai juga yang terputus atau terpotong.

“Keadaan diselubungi bau terbakar tetapi saya tidak pasti ia daging atau apa sahaja yang telah terbakar,” katanya.

Para penyokong Benazir yang berada dalam keadaan kebingungan kelihatan berjalan terhuyung-hayang sepanjang jalan raya, mencari sanak-saudara atau membantu mangsa yang cedera untuk dikejarkan ke hospital.

Serangan bom itu merupakan yang paling buruk di Pakistan apabila sekurang-kurangnya 136 terbunuh dan lebih 300 yang lain cedera.

Berpuluh-puluh ribu orang berkumpul di Jalan Karsaz, kawasan kejiranan yang sibuk di bandar raya Karachi bagi menunggu dan melihat kelibat Benazir yang diarak menggunakan lori khas yang diubah suai dengan peralatan kalis peluru.

Satu letupan kecil berlaku di atas jalan raya sejurus selepas tengah malam yang kemudiannya disusuli letupan besar yang menghasilkan api marak ke udara dan mencerahkan suasana malam berhampiran kenderaan yang membawa bekas Perdana Menteri itu.

“Orang ramai bertempiaran mencari perlindungan. Saya tidak faham mengapa ini berlaku,” kata seorang saksi, Muhammad Ali Balunch.

Menurut lelaki itu, adik-beradik dan ahli keluarganya yang lain turut cedera dalam serangan tersebut.

“Saya sendiri mengangkat lima atau enam mayat ke dalam ambulans.

“Namun banyak lagi mangsa yang masih terbaring di atas jalan raya selain cebisan daging dan darah manusia yang bertaburan,” jelas Muhammad Ali.

Seorang lagi saksi, Massod Ahmed berkata, dia dan beberapa petugas dari Parti Rakyat Pakistan (PPP) berbaris sepanjang jalan raya bagi melihat Benazir ketika letupan berlaku.

“Saya melihat Benazir. Beliau dibantu oleh beberapa petugas dan pemimpin parti. Beliau kelihatan terkejut dan dibawa ke sebuah kereta lain,” jelasnya.

Jurugambar AFP memberitahu, dia terdengar “orang ramai terus melaungkan nama Benazir berulang kali selepas mengetahui beliau terselamat.”

Ketua Polis Karachi, Azhar Farooqi berkata, sekurang-kurangnya tiga anggota polis terbunuh dan kira-kira 20 lagi cedera dalam kejadian itu.

Sementara itu, Benazir hari ini mendakwa serangan pengebom berani mati yang ditujukan kepadanya awal pagi ini dan meragut nyawa 136 orang didalangi oleh penyokong bekas pemimpin tentera, Mohammed Zia ul-Haq.

Sewaktu dihubungi oleh majalah Paris-Match, Benazir berkata, beliau yakin bahawa penyokong Zia adalah perancang utama serangan tersebut.

Menurut Benazir, terdapat beberapa pengikut Zia yang berada di negara ini bimbang pengaruh mereka akan hilang dengan kepulangannya.

– AFP

0 comments: