Dua angkasawan Malaysia bakal diiktiraf cosmonaut

ROMPIN 19 Okt. – Angkasawan pertama negara, Dr. Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha, 35, akan dianugerahkan gelaran ‘cosmonaut’ oleh kerajaan Rusia dalam satu majlis di Moscow tidak lama lagi.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Jamaludin Jarjis berkata, majlis itu hanya akan diadakan selepas Dr. Sheikh Muszaphar selamat kembali ke tanah air dan berlepas semula ke Moscow bagi menerima pengiktirafan itu.

Katanya, selain Dr. Sheikh, Kapten Dr. Faiz Khaleed juga akan mendapat pengiktirafan yang sama sebagai angkasawan kedua negara.

‘‘Semasa di Moscow nanti, macam ada satu majlis konvokesyen mengiktiraf dia (Dr. Sheikh Muszaphar) sebagai cosmonaut.

‘‘Jadi, apabila Rusia sendiri memberikan tauliah kepadanya sebagai cosmonaut, saya harap tidak ada lagi sindiran-sindiran daripada mana-mana pihak yang mempertikaikan kelayakan mereka sebagai angkasawan,” katanya.

Dr. Jamaludin berkata demikian kepada pemberita pada majlis rumah terbuka anjuran beliau di Dewan Majlis Daerah Rompin, di sini malam tadi.

0 comments: