Wanita telan kad SIM dipenjara tujuh bulan

Oleh Munira Yusoff

SEMENYIH: Wanita Indonesia yang menelan kad SIM telefon bimbitnya ketika ditahan berhubung kes penculikan dan pembunuhan Nurin Jazlin Jazimin, 8, dipenjara tujuh bulan di Mahkamah Khas yang mengendalikan kesalahan mengikut Akta Imigresen, di sini, semalam.

Hakim Mahkamah Sesyen, Ruzina Ayob memerintahkan Fitriani Junidi, 23, dipenjara bermula daripada tarikh dia diserahkan kepada pihak Jabatan Imigresen pada 11 Oktober lalu, selepas wanita itu mengaku memasuki negara ini tanpa dokumen sah.

Fitriani yang ditahan polis di Bandar Baru Nilai, Seremban, Negeri Sembilan, pada 29 September lalu, diserahkan kepada Jabatan Imigresen kerana tiada bukti kukuh termasuk maklumat dalam kad SIM, untuk mendakwanya di mahkamah berhubung kes bunuh itu.


Tertuduh mengakui berada di negara ini sejak 2005 dan menggunakan pasport atas nama Yarustika.

Sehubungan itu, Fitriani didakwa semalam mengikut Seksyen 6(c) Akta Imigresen 1959 yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya.

Mengikut fakta kes yang dikemukakan Ketua Unit Pendakwaan Imigresen V Kasthuri, Fitriani gagal menunjukkan pengenalan diri yang sah ketika ditahan polis di ruang Thai Bazaar, Giant Superstore, Nilai.


Fitriani juga ditemui dengan beberapa keping kad SIM pelbagai syarikat telekomunikasi serta wang tunai kira-kira RM470. Dalam rayuannya, tertuduh hanya meminta hukuman ringan.

Bagaimanapun, Kasthuri meminta mahkamah mengambil kira bahawa kebanjiran pendatang tanpa izin mengakibatkan masyarakat negara ini semakin banyak menghadapi gejala sosial.

“Sebelum ini kerajaan pernah memberi pengampunan kepada pendatang asing tetapi tertuduh tidak mengambil peluang itu. Saya pohon hukuman yang boleh dijadikan pengajaran untuk tertuduh dan pesalah lain,” katanya.

Selain Fitriani, empat lelaki berusia 27 hingga 33 tahun yang ditahan bagi membantu siasatan kes bunuh Nurin itu juga dibebaskan selepas direman empat hari.

Sehingga kini masih tiada tangkapan terbaru, tetapi gerakan mengesan dua suspek utama kes itu, masing-masing lelaki dan wanita yang gambar mereka terdapat dalam rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berhampiran lokasi beg berisi mayat Nurin Jazlin, semakin diperhebatkan.

0 comments: