Hasil siasatan enzim babi minggu depan

KUALA LUMPUR: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan mengumumkan hasil siasatan mengenai penggunaan makanan ayam serta bahan yang status halalnya diragui terhadap ternakan ayam di negara ini, minggu depan.

Ketua Pengarahnya, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz, berkata laporan itu sedang disiapkan oleh jawatankuasa khas yang membabitkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPH), Universiti Putra Malaysia (UPM), Jabatan Kimia dan Institut Penyelidikan Halal.

“Jakim sedang menunggu hasil siasatan jawatankuasa khas terbabit kerana Jabatan Kimia sudah selesai mengadakan ujian terhadap sampel makanan ayam yang diambil daripada beberapa pengusaha secara rawak di seluruh negara.


“Jakim menasihatkan orang awam tidak panik atau terpedaya dakyah pihak tertentu yang menyebarkan emel mengatakan kononnya ayam yang diternak di Malaysia diberi makanan mengandungi enzim tidak halal terutama babi,” katanya kepada Berita Harian, di sini, semalam.

Beliau mengulas kebimbangan orang awam terhadap ayam segar yang dijual di pasaran tempatan selepas tersebarnya emel, antara lain membangkitkan persoalan sejauh mana ayam yang diternak di Malaysia bebas daripada diberi makanan mengandungi enzim tidak halal terutama babi.

Wan Mohamad berkata, orang ramai tidak perlu bimbang dengan status halal ayam di pasaran tempatan kerana pihaknya tidak akan berdiam diri jika hasil siasatan yang dibuat membuktikan dakwaan emel yang disebar itu

“Jakim memberi amaran mengenakan tindakan tegas termasuk mengheret pengusaha atau penternak ayam yang menggunakan bahan atau makanan ayam yang status halalnya diragui ke mahkamah.

“Kami tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang sewenang-wenangnya menjejaskan kepercayaan umat Islam negara ini,” katanya.

Beliau menasihatkan orang ramai dan pengguna yang masih was-was supaya merujuk kepada Jakim serta agensi profesional berkenaan dan bukannya menyebarkan emel dan khidmat pesanan ringkas (SMS) yang mencetuskan kebimbangan awam.

0 comments: