Soyuz dijangka mendarat pukul 6.37 petang Ahad

MOSCOW 19 Okt. – Angkasawan pertama negara, Dr. Sheikh Muszaphar yang dijadual pulang ke bumi pada Ahad ini dijangka mendarat pada pukul 2.37 petang waktu tempatan (6.37 petang waktu Malaysia).

Beliau yang menaiki kapsul Soyuz TMA-10 bersama dua angkasawan lain iaitu Fyodor Yurchikhin dan Oleg Kotov akan mendarat dalam lingkungan 10 kilometer di kawasan Arkylk yang turut dikenali sebagai Space Drop Zone di Kazakhstan.

Rasional Arkylk dipilih untuk proses pendaratan ialah kerana kawasannya cukup luas selain mempunyai keadaan atmosfera yang sentiasa tenang serta tidak berawan sama seperti tapak pelancaran roket Soyuz di Baikonur.

Perjalanan yang bermula pukul 11.15 pagi waktu tempatan (3.15 petang waktu Malaysia) untuk sampai ke bumi akan mengambil masa tiga jam 23 minit.

Pengarah Program Angkasawan Negara, Kolonel Dr. Zulkeffeli Mat Jusoh berkata, sebelum berlepas, satu majlis perpisahan akan dilakukan di ISS membabitkan semua angkasawan serta penyerahan ‘pangkat’ Komander ISS juga dilaksanakan membabitkan Yurchikhin dan Peggy Whitson.

Menurutnya, sebaik memasuki kapsul Soyuz TMA-10, Sheikh Muszaphar, Yurchikhin dan Kotov akan menunggu masa untuk proses berlepas yang kesemuanya dikawal oleh komputer.

‘‘Ia mengambil masa 3 jam 23 minit untuk sampai ke bumi selepas melalui pelbagai proses sebelum dan selepas memasuki ruang atmosfera bumi.

‘‘Proses-proses itu termasuklah pemisahan antara tiga bahagian Soyuz dan yang tinggal serta sampai ke bumi hanyalah kapsul yang menempatkan tiga angkasawan terbabit.

‘‘Ketika memasuki ruang atmosfera bumi, kelajuan kapsul itu adalah 755 meter per saat dan selepas berada pada jarak 10 kilometer dari bumi, payung terjun akan dikeluarkan untuk mengurangkan kelajuan Soyuz.

‘‘Hanya beberapa meter sebelum sampai ke daratan, enjin Soyuz akan dihidupkan bagi membolehkannya mendarat dengan perlahan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Dr. Zulkeffeli berkata, dalam keadaan lingkungan 10 kilometer, pasukan penyelamat akan menaiki enam helikopter milik tentera Rusia untuk mengesan kapsul Soyuz tersebut.

‘‘Selepas mendarat, angkasawan akan diberikan kerusi khas bagi mengadaptasikan graviti bumi. Pasukan perubatan juga akan memeriksa kesihatan mereka dan kemudiannya diterbangkan ke Lapangan Terbang Chkalovsky untuk dibawa ke Gagarin Cosmonaut Training Center di Star City, Rusia anggaran pukul 7.30 malam (11.30 malam waktu Malaysia).

‘‘Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan delegasi Malaysia akan menyambut kepulangan angkasawan negara di sana.

‘‘Sheikh Muszaphar kemudiannya akan dikuarantin untuk beberapa minggu sebelum dibenarkan pulang ke tanah air,” ujar beliau.

Sementara itu, Penyelaras Sains Hayat program penyelidikan untuk Program Angkasawan Negara, Prof. Dr. A. Rahman A. Jamal berkata, dalam perbincangan bersama pasukan penyelidik semalam, pihaknya telah sepakat agar Ahli Jawatankuasa Teknikal Program Angkasawan Negara, Datuk Dr. Mazlan Othman dipertanggungjawabkan untuk mengambil semua kit eksperimen dalam kapsul Soyuz.

‘‘Ia bukan tugas mudah kerana ada beberapa kit hasil uji kaji di ISS yang perlu dikawal suhunya. Ia perlu dilakukan dengan cermat bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini,” tambahnya.

0 comments: