Abdullah berang mangsa tsunami belum pindah

KEPALA BATAS 7 Okt. – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini meminta semua penghuni rumah penempatan sementara mangsa tsunami supaya terus menghubungi pihak berkuasa bagi mendapatkan penjelasan mengapa mereka masih belum dibenarkan berpindah ke rumah tetap yang disediakan kerajaan.

Perdana Menteri berkata, mereka sememangnya patut berpindah dan memasuki rumah baru yang ditawarkan jika telah memenuhi syarat dan layak memiliki rumah berkenaan.

“Siapa yang layak dan penuhi syarat sepatutnya sudah boleh masuk (rumah baru)... tunggu apa lagi?” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan kepada fakir miskin anjuran UMNO Bahagian Kepala Batas di sini hari ini.

Beliau berkata, penduduk terlibat seharusnya menghubungi pihak berkuasa dengan segera dan nyatakan sebab-sebab mereka layak untuk berpindah ke rumah baru.

Mangsa-mangsa tsunami tiga tahun lepas di negeri ini masih ditempatkan di rumah panjang sementara di sekitar Tanjung Bungah sedangkan kawasan perumahan tetap siap dibina sejak 22 Februari lepas.

Mereka telah dijanjikan untuk berpindah ke rumah baru sejak bulan lepas tetapi tidak dapat berbuat demikian kerana kerajaan negeri dan Kerajaan Pusat dikatakan tidak ada persepakatan dalam menentukan harga rumah kos rendah itu.

Ketua Menteri Pulau Pinang Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon dipetik sebagai berkata bahawa kerajaan negeri mahu harga rumah itu ditetapkan pada RM42,000 tetapi Kerajaan Pusat dikatakan mempertahankan harga iaitu RM52,000.

Dr. Koh berkata, kerajaan negeri telah mengemukakan usul supaya kesemua mangsa dipindah masuk terlebih dahulu sementara perbincangan untuk memutuskan harga bagi 100 unit pangsapuri di kawasan Tanjung Bungah ditentukan.

Sementara itu Abdullah juga mengingatkan orang ramai yang hendak pulang ke kampung halaman untuk merayakan Hari Raya Aidilfitri supaya berhati-hati dan memandu secara selamat.

Perdana Menteri yang tidak pernah jemu memberi nasihat mengenai aspek keselamatan di jalan raya setiap kali menjelang musim perayaan berkata: “Minta tolong, bawalah kereta baik-baik, beringat dan berhati-hatilah di jalan raya.”

Beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak terburu-buru ketika memandu, sebaliknya berpegang kepada prinsip ‘biar lambat asal selamat’ untuk sampai ke destinasi masing-masing.

“Tak perlulah berebut-rebut untuk tiba ke kampung, lambat sedikit pun tak apa asalkan sampai. Kalau rasa dah lewat tak perlulah pandu laju sangat takut tak sampai langsung, lambat sedikit pun tidak mengapa,” katanya.

Perdana Menteri memberikan nasihat itu ketika berucap pada majlis penyerahan sumbangan Aidilfitri kepada lebih 200 penduduk kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pinang Tunggal di sini hari ini.

Turut hadir ialah isterinya, Datin Seri Jeanne Abdullah serta Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Pinang Tunggal, Datuk Roslan Saidin.

Menurut Abdullah, orang ramai mesti mengelakkan diri daripada memandu dalam keadaan letih, tertekan atau mengantuk kerana ia mendedahkan mereka kepada risiko kemalangan di jalan raya.

“Kalau rasa letih dan mengantuk, jangan pandu kereta. Kalau pandu laju juga, itu nak nahaslah, sengaja tunggu masa nak masuk longkang atau merempuh orang dari belakang,” jelasnya.

0 comments: