Tiada maaf – Bapa Nurin


NORAINI Ahmad membelai Nurin Jazrina Jazimin sambil diperhatikan oleh kakaknya, Nurin Jazshira dan Jazimin Abdul Jalil semasa majlis berbuka puasa bersama Pergerakan Puteri UMNO dan anak-anak yatim di PWTC, semalam.
KUALA LUMPUR 28 Sept. – Bapa Nurin Jazlin, Jazimin Abdul Jalil tidak akan memaafkan sesiapa sahaja yang bertindak kejam dengan menyeksa dan membunuh anak keduanya, Nurin Jazlin.

Beliau berkata, ini kerana perbuatan mereka atau individu itu telah menyebabkan hidupnya sekeluarga tidak tenteram apatah lagi pembunuh anaknya itu belum ditangkap dan dihukum.

“Sampai mati pun, saya tidak akan maafkan mereka, perbuatan mereka tidak akan kami lupakan sampai bila-bila.

“Mereka membunuh anak saya lebih teruk daripada binatang dan saya rasa binatang pun tidak sekejam mereka. Binatang pun lebih sayangkan anaknya, ini semua manusia yang bertopengkan syaitan,’’ katanya.

Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di kediamannya di Seksyen 1, Wangsa Maju di sini hari ini.

Nurin Jazlin, pelajar tahun dua Sekolah Rendah Kebangsaan Desa Setapak, dilaporkan hilang setelah keluar bersendirian untuk ke pasar malam berhampiran rumahnya di Seksyen Satu, Wangsa Maju pada 20 Ogos lalu.

Setelah sebulan usaha mencari dilakukan, akhirnya mayat Nurin Jazlin ditemui di dalam sebuah beg sukan yang ditinggalkan di sebuah premis perniagaan di Jalan PJS 1/48, Taman Petaling Utama, Petaling Jaya pada 20 September lalu.

Rentetan penemuan mayat itu, polis menubuhkan satu pasukan khas untuk menyiasat kes itu dan malam tadi, lima orang termasuk seorang wanita ditahan bagi membantu siasatan pembunuhan Nurin Jazlin.

Penahanan itu dibuat dalam serbuan di sebuah rumah kedai di Seksyen 7, Shah Alam, Selangor.

Mengenai kejayaan polis menahan lima orang itu, Jazimin menambah, beliau teringin untuk berjumpa dan melihat sendiri kelima-lima mereka yang ditahan polis itu.

Beliau berkata, walaupun kesemua yang ditahan hanya disyaki tetapi sebagai bapa mangsa, beliau tetap teringin untuk berjumpa dan melihat mereka.

“Setakat ini, saya tidak dimaklumkan apa-apa oleh pihak polis dan teringin juga untuk berjumpa dengan mereka. Itupun kalau diberi peluang.

“Saya faham, saya tidak dimaklumkan lebih awal oleh polis kerana kelima-lima yang ditahan hanya suspek, belum tentu mereka yang buat,’’ katanya.

Jelasnya, jika kesemua suspek yang ditahan merupakan orang yang dikenalinya, perkara pertama yang ingin dilakukannya adalah menemu bual kesemua mereka.

“Soalan penting yang saya akan tanya adalah kenapa mereka ambil anak saya,’’ ujarnya.

Jelas Jazimin lagi, buat sementara waktu, beliau tidak akan memandu teksi sehingga kes pembunuhan anaknya itu diselesaikan.

“Saya tidak ada hati nak bawa teksi lagi... mungkin berehat dulu sebelum buat kerja lain,’’ ujarnya.

Kata Jazimin lagi, kehidupan mereka sekeluarga berjalan seperti biasa selepas kejadian itu.

“Semua anak saya bermain seperti biasa tetapi mereka sering bertanya tentang Kak Ngah maklumlah Kak Ngah rapat dan sering bermain bersama,’’ katanya.

0 comments: