Bush pula dipelawa berucap di universiti Iran

TEHRAN, Iran 29 Sept. – Presiden Iran Mahmoud Ahmadinejad telah mempelawa Presiden Amerika Syarikat George W. Bush untuk memberikan ucapan di universiti Iran sekiranya pemimpin dunia itu berpeluang datang ke negara ini, demikian lapor stesen televisyen kerajaan hari ini.

“Sekiranya presiden mereka (AS) merancang untuk datang ke Iran, kita akan membenarkan beliau memberikan ucapan di universiti negara ini,’’ kata Mahmoud kepada stesen TV itu sebelum berlepas dari New York untuk ke Amerika Selatan pada awal minggu ini.

Komen beliau yang disiarkan dalam stesen TV itu hari ini sekali gus membayangkan kesediaan yang luar biasa Iran untuk menerima kedatangan Presiden AS selepas lebih suku abad tidak memutuskan hubungan diplomatik.

Mahmoud, sebelum berucap di Universiti Colombia, telah ‘dihina’ secara melulu ketika ucapan pembukaan yang dibacakan oleh tuan rumah, sehingga menimbulkan banyak rungutan di Iran. Presiden Iran itu sendiri merungut ucapan Presiden universiti itu, Lee Bollinger banyak mengandungi ‘‘penghinaan’’ dan lebih berupa layanan tidak mesra tetapi Mahmoud kelihatan menerimanya dengan tenang.

Di Iran, rakyat negara itu juga terkejut dengan ucapan pembukaan Bollinger dan menyatakan kenyataan yang dibuat itu hanya memburukkan lagi imej AS yang dilihat sebagai pembuli.

– AFP

0 comments: