Reben putih hitam protes pembunuhan Nurin

KUALA LUMPUR 28 Sept. – Pergerakan Puteri UMNO hari ini melancarkan kempen reben putih dan hitam sebagai protes terhadap pembunuhan kejam Nurin Jazlin Jazimin.

Ketuanya, Datuk Noraini Ahmad berkata, dua warna yang dipilih iaitu putih melambangkan kesucian manakala hitam bermakna sesuatu yang perlu dijauhi oleh kanak-kanak negara ini.

‘‘Kita mahu ibu bapa menjaga anak-anak dan memastikan kejadian itu tidak berulang.

‘‘Kisah Nurin Jazlin diharap dapat menjadi pengajaran dan yang terakhir berlaku di negara ini,’’ katanya kepada pemberita di sini.

Noraini berkata demikian ketika ditemui selepas majlis berbuka puasa anjuran pergerakan itu bersama 237 anak yatim daripada empat buah Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Yatim.

Sebanyak RM3,500 duit raya turut diagihkan kepada anak-anak yatim tersebut melalui wang zakat yang diterima oleh pergerakan berkenaan daripada pelbagai pertubuhan.

Pada majlis itu juga satu taklimat khas mengenai keselamatan kanak-kanak disampaikan oleh pakar kaunseling, Maznah Ibrahim bagi memberi kesedaran kepada ibu bapa mengenai bahaya jenayah.

Turut hadir pada majlis itu ialah bapa kepada mangsa pembunuhan kejam itu, Jazimin Abdul Jalil bersama dua orang anaknya.

0 comments: