'Teliti semua aspek sebelum laksana sekolah satu sesi'

Oleh Amir Hamzah Nordin

JERANTUT: Sekolah satu sesi dicadangkan untuk dilaksana pada 2010 perlu diperhalusi pelbagai pihak secara kolektif dengan memikirkan aspek prasarana, tenaga kerja dan keperluan tanpa dibuat tergopoh gapah yang akhirnya merugikan semua pihak.

Presiden Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGGMMB), Mohd Sabri Arshad, berkata pada dasarnya kesatuan bersetuju cadangan itu dan mahu kementerian mengkaji aspek terbabit sebelum pelaksanaan cadangan itu sepenuhnya.

"Kementerian perlu mengkaji prasarana di sekolah seperti melengkapkan kelas dengan kemudahan lebih selesa kepada pelajar kerana mereka akan berada di sekolah sehingga petang.

"Sekolah juga perlu dilengkapi tandas dan bilik mandi secukupnya bagi pelajar mengurus diri pada masa ditetapkan serta tempat menyimpan barang peribadi tanpa membebankan pelajar membawanya ke kelas," katanya kepada Berita Harian.

Mohd Sabri berkata, bangunan tambahan juga perlu dibina untuk menjadikan sekolah yang mempunyai dua sesi ditukarkan kepada satu sesi kerana jika ini tidak dilaksana ia menggagalkan pelaksanaan cadangan itu.

"Selain itu, sekolah yang tidak mempunyai kawasan untuk kemudahan bangunan tambahan, perlu dibina bagi mengurangkan bilangan pelajar di sekolah sedia ada yang mempunyai dua sesi.

"Kementerian seharusnya menyediakan kemudahan ini supaya ia tidak mengganggu pelaksanaan sekolah satu sesi kelak dan keselesaan dan keselamatan pelajar," katanya.

Beliau berkata, Kementerian juga perlu menambah kakitangan sokongan untuk membantu guru, ketika waktu perantaraan sesi pagi dan petang bagi menguruskan pelajar bagi memastikan keselamatan mereka terjamin.

Selain itu, beliau memberitahu, pihak kementerian juga perlu mengambil alih Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) yang kini diuruskan sepenuhnya kerajaan negeri.

Mohd Sabri berkata, sekolah satu sesi perlu dijalankan mengikut waktu pejabat dan kegiatan kokurikulum dimasuk dan dijalankan dalam waktu itu tanpa mengambil masa tambahan selepas sesi persekolahan.

0 comments: