Empat ditahan kes Nurin

Oleh Jalal Ali Abdul Rahim, Ifwan Tun Tuah, Nahar Tajri


KENA SIASAT: Empat suspek kes pembunuhan Nurin Jazlin dibawa keluar dari Makmal Forensik Hospital Kuala Lumpur selepas menjalani ujian asid deoksiribonukleik (DNA), semalam.

Tangkapan dibuat dalam tiga serbuan di Shah Alam, suspek jalani ujian DNA

KUALA LUMPUR: Polis meraih kejayaan pertama dalam siasatan kes pembunuhan Nurin Jazlin Jazimin, 8, apabila menahan lima orang termasuk sepasang suami isteri hasil tiga serbuan berasingan di Shah Alam, Selangor, malam kelmarin.

Serbuan dan penahanan dibuat pasukan khas melalui 'Ops Sunti' itu dipercayai hasil pemantauan rapi polis terhadap beberapa khidmat pesanan ringkas (SMS) yang dihantar kepada bapa mangsa, Jazimin Abd Jalil, 33, sejak kehilangan kanak-kanak itu 20 Ogos lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Christopher Wan Soo Kee, berkata semua mereka yang ditahan dalam serbuan jam 11.30 malam itu berusia 27 hingga 33 tahun.

"Tangkapan dibuat berdasarkan maklumat diterima daripada orang ramai dan penyiasat polis. Semua tangkapan dibuat di Shah Alam dan berkaitan siasatan kes pembunuhan Nurin.

"Dalam serbuan itu, polis turut merampas dua kereta dan lima telefon bimbit," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, semalam.

Bagaimanapun, wanita itu dibebaskan petang semalam selepas keterangannya diambil.

Ia adalah tangkapan pertama sejak mayat Nurin Jazlin ditemui dalam sebuah beg sukan di sebuah premis di Taman Petaling Utama, Petaling Jaya, pada 17 September lalu. Mayat kanak-kanak itu ditemui selepas kira-kira sebulan hilang.

Serbuan dilakukan di dua lokasi berasingan di Seksyen 7 Shah Alam, membabitkan pegawai dan anggota Bahagian Jenayah Berat (D9) Bukit Aman, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, IPK Kuala Lumpur, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya dan IPD Sentul.

Difahamkan, tangkapan pertama membabitkan seorang lelaki dan wanita di hadapan sebuah perhentian bas, selepas polis menahan sebuah kereta Proton Iswara Aeroback. Kedua-dua berusia 33 tahun dari Taman Kampung Kuantan, Klang.

Susulan penahanan pasangan itu, polis menyerbu sebuah rumah kedai di Jalan Kristal, juga Seksyen 7 dan menahan seorang lelaki berusia 28 tahun berasal dari Wakaf Baharu, Tumpat, Kelantan yang dipercayai suami wanita berkenaan.

Dalam satu serbuan lain di kawasan berhampiran, awal pagi semalam, polis menahan dua lagi lelaki. Selepas penahanan, semua suspek dibawa ke Bukit Aman pada jam 1.30 pagi. Seorang daripada suspek itu mempunyai rekod jenayah seksual.

Pagi semalam, polis mendapat perintah Mahkamah Sesyen Petaling Jaya untuk menahan reman tujuh hari empat lelaki itu, mulai semalam.

Perintah reman dikeluarkan Hakim Nurmala Salin pada kira-kira jam 11.30 pagi, selepas menerima permohonan Pegawai Penyiasat, Asisten Superintendan Loh Pei Pei.

Nurmala mengeluarkan perintah itu mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah bagi membolehkan kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 kanun Keseksaan kerana membunuh.

Sebelum itu, dua daripada empat suspek terbabit dibawa menaiki van polis dengan memakai baju lokap berwarna merah jambu dan diiringi pegawai polis, diikuti kereta peronda yang membawa wanita bertudung putih.

Beberapa ketika kemudian, sebuah lagi van polis tiba dengan membawa dua lagi suspek. Ketika dibawa masuk ke mahkamah, seorang daripada suspek bertindak menendang jurugambar kerana tidak mahu gambarnya dirakam.

Keempat-empat lelaki itu kemudian dibawa keluar semula dari pekarangan mahkamah pada jam 12.15 tengah hari dengan dua van polis.

Terdahulu pada jam 9.20 pagi, empat lelaki dan wanita itu dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) dipercayai untuk diambil sampel darah bagi ujian DNA.

Sementara itu, Jazimin berkata, keluarganya lega dengan perkembangan siasatan polis dan memberi jaminan akan sentiasa memberi kerjasama penuh sehingga kes itu diselesaikan.

"Setakat ini saya belum dipanggil untuk mengenal pasti suspek dan akan pergi jika dipanggil.

"Walau bagaimanapun, saya tidak akan menghubungi polis semata-mata untuk bertanya perkembangan siasatan mereka. Itu akan mengganggu siasatan... mereka tahu apa yang patut dilakukan," katanya.

0 comments: