Laporan nahas Nuri dibuat secara tepat, profesional – Najib

KUANTAN 28 Sept. – Hasil laporan pasukan penyiasat helikopter Nuri Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang terhempas di Gunung Bunga Buah, Genting Sempah pada 13 Julai lepas adalah tepat dan dibuat secara profesional, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Timbalan Perdana Menteri berkata, pasukan penyiasat telah menjalankan tugas mereka dengan cukup baik dan menyediakan laporan lengkap berhubung nahas Nuri itu.

‘‘Ia adalah laporan tepat dan sesiapa sahaja perlu menerimanya kerana ia dibuat secara profesional,” kata Najib kepada para pemberita selepas melancarkan projek Komunikasi Teknologi Maklumat (ICT) Nasional-Khidmat Urus Portal di Dewan Jubli Perak di sini hari ini.

Beliau yang juga Menteri Pertahanan mengulas dakwaan bapa Allahyarham Kapten Norazlan Termuzi, 29, yang tidak berpuas hati dengan hasil siasatan TUDM mengenai nahas helikopter yang dipandu oleh anaknya.

Datuk Termuzi Abd. Aziz mendakwa lembaga siasatan itu tidak menyiasat kejadian tersebut secara menyeluruh. Beliau mendakwa siasatan itu hanya dibuat di tempat nahas tanpa mengambil kira faktor lain.

Beliau menolak hasil siasatan yang mengatakan anaknya melakukan kesilapan ketika menerbangkan helikopter terbabit sedangkan Norazlan merupakan juruterbang terlatih dan telah melakukan penerbangan melebihi 1,500 jam.

Mengulas alasan yang diberikan oleh bapa juruterbang terbabit, Najib memberitahu: ‘‘Pasukan penyiasat sudah mengeluarkan laporan yang cukup tepat dan lengkap, terpulanglah kepada beliau.”

0 comments: