Datuk dituduh tipu RM3.9 juta

Oleh: NON EINAI MOHD. AMIN


PAIMAN SHAKIMON.

KUALA LUMPUR 28 Sept. – Seorang ahli perniagaan tidak mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas empat tuduhan penipuan membabitkan pelaburan wang tunai berjumlah RM3,929,370 antara Mei 2005 dan Ogos 2006.

Datuk Paiman Shakimon, 48, beralamat di Country Heights, Kajang dituduh menipu Datuk Rosidi Kamaruddin, 55, dan memperdaya mangsa untuk melabur dalam skim pelaburan ‘Program Roll Over’ yang didakwanya sah dan mendapat kebenaran Bank Negara Malaysia.

Pertuduhan juga menyebut bahawa tertuduh menjanjikan skim itu akan mendatangkan keuntungan yang berlipat kali ganda.

Penipuan tersebut didakwa berjaya membuatkan Rosidi menyerahkan wang tunai berjumlah RM3,429,370 kepadanya untuk pelaburan skim berkenaan antara 6 Mei 2005 dan 17 November tahun lalu.

Paiman dituduh di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, beliau didakwa di bawah Seksyen 467 Kanun Keseksaan kerana menggunakan beberapa dokumen palsu sebagai cagaran berharga dan menyerahkan dokumen itu kepada Rosidi antara September 2005 dan Mac 2006.

Paiman dituduh di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 467 kanun yang sama. Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun jika sabit kesalahan.

Dalam pertuduhan ketiga, seorang mangsa lain, Datuk Liew Teck Keong telah diperdayakan oleh tertuduh untuk menyerahkan wang tunai berjumlah RM500,000 antara Oktober 2005 dan 26 Mei 2006 untuk melabur dalam skim yang sama.

Tertuduh juga didakwa memberikan pelbagai maklumat palsu kepada Liew sehingga berjaya memperdayakan mangsa untuk menyerahkan wang setengah juta ringgit untuk pelaburan berkenaan.

Dokumen-dokumen yang dilampirkan bagi pertuduhan di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan termasuk pernyataan daripada Citibank dan Bank JP Morgan Chase Bank seperti penyata akaun, buku-buku akaun, slip pengesahan deposit, permohonan pindahan dana dan lain-lain perkhidmatan bank.

Program pelaburan ‘Program Roll Over' dikatakan satu dana milik negara ini yang disimpan di sebuah bank di Switzerland semasa zaman pramerdeka dan orang yang melabur dalam skim itu dijanjikan pulangan 50 kali ganda.

Timbalan Pendakwa Raya, Anas Ahmad Zakie menawarkan jaminan RM300,000 dengan seorang penjamin sementara tarikh bicara ditetapkan pada 7 Julai tahun depan.

Peguam bela, Md. Yunos Shariff yang mewakili Paiman memohon supaya mahkamah mengurangkan jaminan tersebut memandangkan tertuduh akan dihadapkan ke mahkamah di sini Isnin ini atas tuduhan lain di bawah Akta Pengubahan Wang Haram.

Hakim Komathy Sup-

piah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM100,000 dengan syarat dokumen perjalanannya diserahkan kepada mahkamah.

Komathy juga menambah satu lagi syarat iaitu tertuduh wajib melaporkan diri ke balai polis pada setiap bulan.

0 comments: