Perutusan Ramadan Vatican kaitkan Islam dengan keganasan

VATICAN CITY 28 Sept. – Pihak Vatican mendesak umat Islam supaya menolak keganasan, bekerjasama dengan golongan Kristian ke arah perdamaian serta mengajar golongan muda mencintai dan menghormati orang lain, sekali gus membayangkan orang Islam merupakan golongan yang menggalakkan keganasan.

Pegawai tertinggi yang bertanggungjawab dalam perhubungan dengan umat Islam, Kardinal Jean-Louis Tauran, ketika mengeluarkan mesej itu menjelang berakhirnya sambutan Ramadan tidak berapa lama lagi, juga meminta orang Islam tidak menjadi blok penentang kepada budaya dan agama lain.

“Bantulah kami untuk melepaskan diri kita daripada konflik yang tiada kesudahan dan pelbagai ketegangan yang ada dalam masyarakat,” katanya dalam sebuah mesej.

Hubungan antara pihak Islam dan Kristian terjejas teruk selepas pemimpin tertinggi agama itu, Pop Benedict XVI dalam ucapannya pada tahun lepas mengaitkan agama Islam dengan keganasan.

Pop Benedict kemudiannya memohon maaf secara terbuka kepada semua umat Islam di seluruh dunia dan menyatakan penyesalan kerana kenyataannya telah menyentuh perasaan orang Islam.

Tauran yang merupakan bekas ketua hal ehwal luar Vatican sebelum ini menyatakan sokongan kepada golongan sederhana Islam untuk mengadakan dialog bersama bagi menghapuskan kumpulan pelampau yang selama ini menjadi penyokong keganasan.

Beliau turut menggesa semua pemimpin Islam supaya mendidik generasi muda yang membolehkan mereka menerapkan nilai hormat pada semua bangsa manusia.

“Oleh itu semua orang harus digerakkan untuk berkhidmat manusia dan kemanusian supaya generasi muda tidak terlalu taksub kepada agama masing-masing dan memandang serong agama lain,” tambahnya.

– AP

0 comments: