Kempen hancur penentang diperhebat


TUNJUK perasaan terus diadakan di beberapa buah negara oleh rakyat Mynmar dan mereka yang bersimpati termasuk di Thailand, Australia, Filipina, Jepun dan juga Malaysia. Sekurang-kurangnya 13 orang terbunuh termasuk seorang wartawan Jepun selepas dua hari pihak berkuasa mula bertindak ke atas para penunjuk perasaan yang dipimpin oleh sami Buddha di Yangon, semalam. – AP.
YANGON 28 Sept. – Junta tentera Myanmar memperhebatkan kempen untuk menghancurkan penentang hari ini dengan mengambil tindakan pantas untuk menyuraikan tunjuk perasaan, menduduki wat-wat utama dan memotong akses Internet.

Langkah-langkah itu menimbulkan kebimbangan bahawa junta sedang bersiap sedia untuk mengambil tindakan lebih drastik bagi menamatkan protes berkenaan.

Dengan menutup wat, kerajaan bertekad menghalang sami yang sangat dihormati oleh kebanyakan rakyat negara ini daripada kembali ke jalan raya untuk mengetuai protes.

Ketiadaan sami di jalan raya mungkin menyebabkan askar lebih berani untuk bertindak lebih keras ke atas penunjuk perasaan lain.

Usaha untuk membendung demonstrasi itu dipercayai mula membawa kesan hari ini.

Bantahan baru berlaku di tiga lokasi utama hari ini, dua hari selepas pihak berkuasa mula bertindak sehingga menyebabkan sekurang-kurangnya 14 terbunuh.

‘‘Sememangnya terdapat mangsa dalam kejadian itu - berkemungkinan besar terbunuh dan cedera,’’ kata diplomat yang berpejabat di sini selepas 10,000 penunjuk perasaan kembali di jalan-jalan raya tanpa menghiraukan tembakan amaran dan juga pukulan belantan

Junta terus membisu terhadap segala rayuan antarabangsa supaya menahan diri daripada menggunakan kekerasan.

ASEAN semalam melahirkan “rasa meluat” dengan apa yang berlaku dan menggesa junta “menahan diri dan mencari penyelesaian politik.”

Tunjuk perasaan antijunta dilancarkan di Malaysia, Thailand, Jepun, Australia, Indonesia dan tempat lain.

Duta-duta ASEAN dimaklumkan oleh pihak berkuasa Myanmar hari ini, zon larangan diisytiharkan di sekitar lima wat, kata seorang diplomat.

Pintu pagar dikunci dan persimpangan utama dekat wat di Yangon dan Mandalay ditutup dengan dawai berduri, dan tiada seorang sami pun kelihatan di jalan raya.

“Kami diberitahu pasukan keselamatan telah dapat mengawal sami dan mereka kini akan mengalihkan perhatian terhadap penunjuk perasaan awam,” kata diplomat dari Asia itu.

Sementara itu utusan khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke Myanmar, Ibrahim Gambari dalam perjalanan ke negara itu untuk menggalakkan penyelesaian politik dan dijangka tiba seawal esok, menurut seorang diplomat Barat.

Meskipun rundingan tidak dijangka diadakan, keputusan junta untuk menerima Ibrahim bermakna mereka melihat peranan untuk beliau dan PBB sebagai perantara dialog dengan pembangkang dan para pemimpinnya, jelas diplomat itu.

– AP

0 comments: