Siasatan forensik terhadap 4 lelaki

KLANG 28 Sept. – Unit Forensik Selangor hari ini melakukan pemeriksaan di beberapa lokasi yang mengaitkan empat lelaki yang ditahan reman dengan kes pembunuhan kejam Nurin Jazlin Jazimin.

Pasukan terbabit yang dianggotai oleh kira-kira 20 anggota dan diketuai oleh Supritendan Amidon Anan tiba di lokasi pertama di Lorong Putih, Kampung Kuantan di sini pada pukul 2 petang bersama dua lelaki yang ditahan reman itu.

Kawasan sekitar perumahan itu kecoh seketika apabila penduduk mengambil peluang melihat dengan lebih dekat lelaki-lelaki berkenaan yang kelihatan menutup wajah masing-masing dengan tuala.

Pasukan tersebut berada di lokasi pertama selama hampir satu jam sebelum bergerak ke lokasi kedua di Seksyen 7, Shah Alam iaitu lokasi di mana mereka ditahan malam tadi.

Di Shah Alam, Unit Forensik dilihat memeriksa dua buah kenderaan jenis Proton Iswara dan Perodua Myvi yang diletakkan di bahagian belakang premis perniagaan terbabit.

Selain itu, sepasukan lagi anggota forensik turut membuat pemeriksaan dalam butik pakaian milik lelaki itu yang turut dihadiri oleh seorang suspek kes terbabit.

Proses pemeriksaan forensik di kedua-dua lokasi tersebut selesai sepenuhnya kira-kira pukul 5.30 petang ini.

Sementara itu, sampel darah daripada lima orang termasuk seorang wanita diambil hari ini untuk membantu siasatan kes pembunuhan kejam Nurin Jazlin, 8, yang mayatnya disumbat di dalam sebuah beg pakaian dan ditinggalkan di hadapan sebuah premis di Taman Petaling Utama, Petaling Jaya dekat sini 17 September lalu.

Sampel darah kelima-lima mereka diambil untuk mengesahkan kesahihan profil beberapa ujian asid deoksiribonukleik (DNA) yang dikumpulkan polis di lokasi mayat Nurin Jazlin ditemui.

Kelima-lima mereka tiba di pekarangan Jabatan Forensik, Hospital Kuala Lumpur (HKL) di Kuala Lumpur kira-kira pukul 9.20 pagi ini.

Dua jam kemudian, empat lelaki yang digari itu dibawa keluar secara berasingan menaiki dua buah van polis.

Wanita yang sedang mengandung itu bagaimanapun tidak digari.

Dia yang diiringi pegawai penyiasat dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, Asisten Supritendan Loh Pei Pei kemudian menaiki sebuah kereta Proton Wira berwarna putih.

Kesemua lelaki itu memakai baju lokap tertera tulisan ‘Lokap Kuala Lumpur’ manakala wanita berkenaan pula memakai baju kurung warna hitam dan bertudung putih.

Difahamkan wanita yang ditahan itu sedang mengandung empat bulan.

0 comments: