Kesilapan juruterbang dijadikan alasan untuk tutup kelemahan Nuri

Azamin Amin Foto Wan Zahari
Fri | Sep 28, 07 | 10:19:21 am MYT

KUALA LUMPUR, 28 Sept (Hrkh)-Kesilapan juruterbang dikenal pasti sebagai punca helikopter Nuri Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) terhempas di Gunung Bunga Buah, Genting Sempah dekat sini pada 13 Julai lalu dilihat sebagai usaha untuk menutup kelemahan Nuri dari sudut teknikal dan yang sudah pun berusia terlalu lama.

Ketua Penerangan PAS Pusat Haji Mahfuz Omar berkata beliau dan ramai lagi masih meragui termasuk bapa allahyarham Kapten Norazlan Termuzi, 29, yang tidak berpuas hati dengan siasatan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mengenai nahas helikopter Nuri yang dipandu anaknya Julai lalu.

Dato' Termuzi Abd. Aziz mendakwa, lembaga siasatan tidak menyiasat kejadian itu secara menyeluruh, malah mendakwa siasatan hanya dibuat di tempat nahas sahaja tanpa mengambil kira faktor lain.

"Saya mencurigai siasatan mereka kerana ia mungkin dibuat tanpa merujuk kepada maklumat lain yang dianggap penting," katanya dalam kenyataan di sini hari ini. Image

Menurut Termuzi, pihaknya menolak keputusan yang mengatakan anaknya melakukan kesilapan ketika menerbangkan helikopter Nuri itu sedangkan Norazlan merupakan juruterbang terlatih dan telah melakukan penerbangan melebihi 1,500 jam.

Mahfuz juga hairan setiap kali siasatan dilakukan atas tragedi pesawat TUDM yang terhempas selama ini, lazimnya banyak keputusan lebih kepada menyalahkan atau mendakwa bahawa punca nahas adalah disebabkan oleh kesilapan ataupun kecuaian juruterbang berbanding kelmahan teknikal pesawat itu sendiri.

"Saya dapat maklumat, bahawa jika allahyarham sudah menerbangkan pesawat lebih 1,500 jam, itu melayakkannya untuk menjadi juruterbang di medan perang dan sangat terlatih dalam keadaan genting sekalipun cuaca buruk," katanya ketika dihubungi Harakahdaily.net pagi tadi.

"Saya sangsi dengan laporan itu tetapi kalau kerajaan menerima pakai juga hasil siasatan ini, bermakna kerajaan dan TUDM perlu akui bahawa selama ini mereka telah gagal melahirkan juruterbang terlatih," katanya dan

Beliau mahu satu Tribunal bebas ditubuhkan bagi mendengar dan meneliti siasatan secara menyeluruh memandangkan laporan ini dilihat hanya berpandukan kepada pandangan sebelah pihak sahaja.

"Siapa pula yang akan membela bagi pihak juruterbang yang terbunuh ini dan boleh menyoal kembali kesahihan laporan ini yang dilihat seolah-olah cuba menutup kelemahan Nuri itu sendiri?" soalnya lagi.

Beliau juga mahu siasatan mengambil kira juga dari sudut penyelenggaraan pesawat TUDM termasuk Nuri yang seringkali dikaitkan dengan pelbagai masalah, menggunakan barangan murah dan ada unsur-unsur rasuah sehingga mengakibatkan pesawat diselenggara sambil lewa atau dibaiki dengan menggunakan bahan bermutu rendah.

Ini termasuk juga keluhan dan pandangan para juruterbang yang selama ini bimbang dengan pesawat yang dinaiki atau yang diterbangkan mereka selama ini seperti yang pernah dinyatakan oleh Termuzi tentang perbualan anaknya.

Kata Termuzi bahawa anak perempuannya pernah mendengar perbualan di antara Azlan dan Asykeen mengenai keadaan helikopter yang akan dinaiki sehari sebelum kejadian ngeri itu dan dalam perbualan tersebut, Nor Intan Asykeen ada memberitahu Norazlan mengenai kebocoran kotak gear helikopter tersebut.

Pada 13 Julai lalu, helikopter Nuri yang dinaiki enam anak kapal yang dalam perjalanan ke Pangkalan TUDM Kuantan terhempas di kawasan hutan tebal di Gunung Bunga Buah, Genting Sempah dekat sini.

Kejadian itu berlaku pada pukul 9.24 pagi itu iaitu beberapa minit selepas helikopter tersebut meninggalkan Stesen Udara TUDM di Sungai Besi di sini.

Ia meragut nyawa juruterbang Kapten Nor Azlan Termuzi, 29, pembantu juruterbang Kapten Nor Intan Asykeen Mohd Arof, 27 serta Sarjan Udara, Khusnizaim Ariffin, 34; Sarjan Udara Mohd Azmie Md Yassin, 35; Laskar Udara Kanan, Saifulizam Alias, 28 dan Laskar Udara Kanan, Muhammad Ridzuan Ahmad, 27.

0 comments: