Junta akui tahan pembangkang

YANGON 17 Okt. – Junta tentera Myanmar hari ini menegaskan bahawa mereka masih meneruskan operasi memburu penunjuk perasaan yang menyertai pemberontakan prodemokrasi baru-baru ini.

Menurut kenyataan rasmi yang disiarkan di muka depan akhbar New Light of Myanmar, hampir 3,000 aktivis ditahan sejak tindakan keras mula diambil ke atas penunjuk perasaan dan ratusan lagi masih dalam tahanan.

Kenyataan itu disiarkan ketika utusan khas Pertubuhan Bangsa- Bangsa Bersatu (PBB), Ibrahim Gambari menggesa negara-negara Asia supaya mengetuai usaha menyelesaikan krisis di Myanmar.

“Mereka yang mengetuai, yang terlibat dan yang menyokong kekacauan yang meletus pada September lalu ditangkap dan disoal siasat sebelum dibebaskan.

“Sebilangannya masih dipanggil untuk disoal siasat tetapi mereka yang patut dibebaskan akan dibebaskan,” tegas kenyataan itu.

Menurut junta, seramai 2,927 orang telah ditangkap sejak operasi bermula dan hampir 500 masih dalam tahanan.

Semua tahanan yang dibebaskan dikehendaki menandatangani satu “akujanji”, jelas kenyataan itu.

Penunjuk perasaan yang dibebaskan juga mengaku dipaksa menandatangani dokumen mengatakan mereka tidak lagi akan terlibat dalam protes atau menyokong gerakan prodemokrasi.

Sementara itu, empat orang anggota parti pembangkang iaitu Liga Demokrasi Kebangsaan (NLD) telah dijatuhkan hukuman penjara lebih tujuh tahun dalam perbicaraan rahsia di barat Myanmar.

Jurucakap NLD, Han That Myint berkata, keempat-empat mereka ditahan di bandar pelabuhan Sittwe, sebuah daripada lokasi tunjuk perasaan yang diketuai para sami sebelum ini.

Jelasnya, antara yang dijatuhkan hukuman adalah ketua NLD di Taunggok, Kyaw Khine, 85 dan tiga yang lain dikenal pasti sebagai Than Pe, Tun Kyi dan Sein Kyaw.

– AP

0 comments: